Pasaran pekerjaan dijangka bertambah baik mulai suku keempat 2020

Pasaran pekerjaan dijangka bertambah baik mulai suku keempat 2020

KUALA LUMPUR,. Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) yakin pasaran pekerjaan di Malaysia akan bertambah lebih baik pada suku keempat tahun ini berasaskan pertambahan penciptaan pekerjaan dan kadar pengangguran yang stabil sejak suku ketiga.

Pengarah Kanan, Betty Hasan berkata memandangkan kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai tahap, maka tiada keperluan untuk mengenakan perintah sekatan sepenuhnya dan hanya membenarkan perkhidmatan penting sahaja yang beroperasi seperti PKP pertama pada Mac lepas.

“Justeru, kami berpandangan unjuran bagi suku keempat adalah lebih baik seiring dengan ekonomi yang semakin pulih dan kami yakin ia sesuatu yang positif untuk Malaysia.

“Keadaan buruk diharapkan telah berlalu,” katanya di webinar bertajuk ‘Unjuran Pasaran Buruh Malaysia dalam Tempoh COVID-19’ anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kesatuan Eropah-Malaysia hari ini.

Beliau berkata kadar guna tenaga kekal stabil pada purata tiga peratus bagi beberapa tahun sehingga 2019, menunjukkan Malaysia mempunyai pasaran buruh yang hampir mencapai guna tenaga penuh dan permintaan berterusan terhadap tenaga kerja.

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP telah menjejaskan pendapatan, perniagaan dan ekonomi secara amnya, katanya.

“Pasaran buruh mula merasai kesan PKP susulan kadar pengangguran pada April melonjak kepada 5.1 peratus. Ini merupakan kadar tertinggi di Malaysia bagi tempoh sejak 1990.

“Peningkatan pengangguran adalah disebabkan kekurangan penciptaan pekerjaan berikutan aktiviti ekonomi menghadapi kekangan dan peningkatan jumlah pekerja yang diberhentikan sejak suku kedua tahun ini,” katanya.

Betty berkata pada suku ketiga 2020, jumlah keseluruhan individu yang diberhentikan kerja mencecah 83,717 orang, melebihi sekali ganda angka pada setahun penuh 2019 yang mencatatkan 40,084 orang.

Beliau berkata secara amnya, ia jelas menunjukkan kelembapan pertumbuhan ekonomi mempengaruhi penciptaan pekerjaan.

Indikator ekonomi susut ketara pada suku pertama dan kedua 2020 masing-masing kepada 0.7 peratus dan -17.1 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, ILMIA dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Sejajar dengan itu, kekosongan jawatan menunjukkan corak penurunan, merosot kepada 119,388 pada suku pertama 2020 dan terus meleset kepada 46,499 pada suku kedua 2020.

“Memandangkan ekonomi mulai menunjukkan tanda-tanda pemulihan, jawatan kosong meningkat pesat pada suku ketiga 2020, dengan 124,225 jawatan didaftarkan, menunjukkan kadar pengangguran juga berkurangan pada tempoh yang sama,” katanya.

Bagi mengurangkan kesan COVID-19 ke atas pasaran buruh, Malaysia memperkenalkan beberapa langkah rangsangan ekonomi untuk mengekalkan kestabilan kewangan, menjaga kebajikan ekonomi isi rumah dan membantu kelangsungan syarikat dalam mengharungi krisis kesihatan di negara ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )