Pasar Borong KL baharu moden bakal dibina, galak warga tempatan rebut peluang kerja

Pasar Borong KL baharu moden bakal dibina, galak warga tempatan rebut peluang kerja

PUTRAJAYA,. Satu usaha bersifat komprehensif bakal diambil pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah lambakan pekerja asing di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Ini memandangkan, keadaan pasar borong sedia ada yang kelihatan kotor dan berbau busuk tidak menarik minat anak-anak tempatan untuk mengambil peluang bekerja di situ.

Justeru Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa tampil dengan inisiatif untuk membina sebuah pasar borong baharu yang menampilkan elemen moden dan menggunakan teknologi hijau.

Beliau berkata, pasar borong baharu yang bakal dibina di lokasi berdekatan tapak sedia ada mempunyai keluasan antara tiga hingga lima kali ganda selain bakal dilengkapi hostel pekerja.

“Kita sudah memasuki fasa terakhir penelitian dalam membuat keputusan bagi memodenkan Pasar Borong Kuala Lumpur. Ini kerana kita diberikan maklum balas bahawa pekerja tempatan tidak gemar kerja-kerja bersifat 3D (Dirty, Difficult and Dangerous) serta berbau busuk,” katanya dalam sesi Live Facebook hari ini.

Annuar berkata, keadaan itu menyebabkan peluang kerja di pasar borong telah direbut pekerja-pekerja asing.

Dalam hal ini, beliau menegaskan, pihaknya mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan usaha penguatkuasaan terhadap pekerja warga asing.

“Meskipun ada kerenah di sana-sini dan ada pihak tidak senang hati, saya ingin jelaskan kerajaan termasuk Jemaah Menteri telah buat pemerhatian bahawa kerajaan akan ambil tindakan bersungguh-sungguh untuk memberikan isyarat peluang kerja hendaklah direbut dan utamakan pekerja tempatan. Negara tidak boleh terus bergantung kepada pekerja asing,” katanya.

Annuar menjelaskan, beliau berharap pembinaan pasar borong baharu moden itu tidak akan mengambil masa lama iaitu dengan sasaran Jun tahun depan ia sudah boleh beroperasi.

“Jun tahun depan diharap lebih ramai pekerja tempatan akan bekerja di dalam sebuah pasar borong yang bersih, moden dan teratur seperti negara-negara maju antaranya Jepun dan Korea.

“Ini fokus yang saya akan berikan perhatian serius hingga menjadi realiti. Saya harap Kuala Lumpur akan memiliki sebuah pasar borong moden yang sesuai dengan keperluan Kuala Lumpur sebagai kota raya dan bandar pintar, selamat serta hijau,” katanya sambil menganggap ia adalah projek yang menjadi keutamaan pihaknya.

Lambakan pekerja asing di Pasar Borong Kuala Lumpur menjadi isu tumpuan masyarakat negara ini apabila penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dilaksanakan di kawasan tersebut baru-baru ini.

Tindakan itu dibuat ekoran kes jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan yang turut melibatkan warga asing. PKPD akhirnya membuka mata banyak pihak apabila selepas pekerja asing dilarang memasuki premis pasar borong berkenaan, rupa-rupanya ada dalam kalangan tempatan tampil bekerja di situ.

Proses pemodenan pasar borong dilihat mampu menarik lebih ramai warga tempatan untuk bekerja di situ. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )