Pas main peranan damaikan Bersatu, UMNO – Tuan Ibrahim

Pas main peranan damaikan Bersatu, UMNO – Tuan Ibrahim

PUTRAJAYA,. Pas akan berusaha mendamaikan Bersatu dan UMNO atas dasar penyatuan ummah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Insya-Allah (usaha) akan berhasil. Rakyat mahu lihat perkara sama (penyatuan ummah) dan Pas main peranan berusaha mendamaikan kedua-dua pihak bagi penyatuan ummah. Kita perlukan kestabilan politik. Ia hanya boleh dicapai apabila ada elemen muafakat politik,” katanya.

Tuan Ibrahim, yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas pelaksanaan projek kolam takungan dwifungsi Sungai Klang-Rasau dan Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa 2 (LRAL2F2), di sini, hari ini.

Beliau mengulas usaha Pas untuk memulihkan hubungan Bersatu dan UMNO susulan UMNO telah menyatakan pendirian pada Perhimpunan Agong UMNO 2020 untuk menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu.

Kelmarin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata pembentukan agenda penyatuan ummah antara Bersatu, Pas dan UMNO tidak mungkin dapat direalisasikan kerana penolakan kerjasama oleh UMNO terhadap Bersatu.

Tuan Ibrahim berkata kedua-dua pihak masih mempunyai masa untuk mengadakan perbincangan demi mencapai muafakat politik.

“Kedua-dua pihak perlu duduk bersama (berbincang) sebab ahli Bersatu pun ada dari UMNO (sebelum ini). Kita mahu lihat masa depan politik yang lebih baik dalam konteks muafakat politik,” katanya.

Ditanya mengenai pendirian Pas dalam memilih rakan kerjasamanya bagi PRU15, Tuan Ibrahim berkata parti itu tidak seharusnya diberi kata dua kerana PAS berpendirian perlunya wujud penyatuan ummah antara semua parti politik yang mewakili kaum Melayu.

Media sebelum ini melaporkan Pas akan memuktamadkan hala tuju kerjasama politik parti itu dalam masa terdekat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )