OPR kekal selaras perkembangan ekonomi global, penurunan inlfasi Malaysia – MOF
KUALA LUMPUR,. Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus adalah selaras dengan perkembangan ekonomi global serta kadar inflasi di Malaysia yang menunjukkan trend penurunan dan kekal stabil.
Dalam kenyataan pada Khamis, Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan meskipun tinjauan ekonomi global dipengaruhi risiko pertumbuhan global menjadi lebih perlahan namun, kerajaan yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang tahun ini.
Menurut MOF tinjauan ekonomi global yang dipengaruhi oleh risiko pertumbuhan global menjadi lebih perlahan itu adalah berikutan dasar monetari kebanyakan bank pusat yang kekal ketat dan pemulihan ekonomi China lebih perlahan berbanding jangkaan.
MOF menekankan ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh tahap pengangguran yang semakin menurun serta peningkatan aktiviti ekonomi khususnya pelancongan, ditambah dengan pelaksanaan projek kerajaan yang akan terus disegerakan untuk memacu kegiatan ekonomi.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihak bank hendaklah sentiasa peka terhadap kesusahan yang dihadapi peminjam individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan segera menyediakan kemudahan penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan.
Menurut MOF peminjam boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Pada kadar OPR semasa iaitu 3.0 peratus, dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, tambah MOF.
Terdahulu, mesyuarat MPC BNM pada Khamis memutuskan OPR dikekalkan pada 3.00 peratus.
BNM menjelaskan MPC terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.
MPC juga kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan akan terus memantau data baharu bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negara.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” jelas BNM dalam Pernyataan Dasar Monetari.
–BERNAMA