Operasi institusi pendidikan bawah KPM tertakluk kawasan PKP, PKPB, PKPP

Operasi institusi pendidikan bawah KPM tertakluk kawasan PKP, PKPB, PKPP

KUALA LUMPUR,. Sesi persekolahan secara bersemuka bagi institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya melibatkan murid yang menduduki peperiksaan utama tahun 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Peperiksaan itu termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM).

Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, pengoperasian institusi pendidikan dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian di kawasan PKP yang akan menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Jan dan surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan murid merentas negeri atau daerah untuk pulang ke asrama.

“Selain itu, semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah di kawasan PKP akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Jan. Ketetapan ini juga terpakai kepada murid Semester 2 SVM dan Semester 2 DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan 1, calon berdaftar yang masih belum menduduki pentaksiran itu akan mengikuti pentaksiran antara 20 hingga 29 Jan ini.

Sementara itu, bagi kemasukan ke Tingkatan 4 pula, pentaksiran akan diadakan pada 15 hingga 25 Feb ini, selain surat kebenaran khas akan dikeluarkan KPM bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran yang ditetapkan.

Dalam pada itu, bagi tujuan pengoperasian sekolah, semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Jan ini, katanya.

“Guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 dan 2021 di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka. Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah,” menurut KPM lagi.

Selain itu, pelajar Kolej Matrikulasi di kawasan PKP yang berada di kolej perlu kekal di kolej masing-masing untuk mengikuti pembelajaran secara hibrid, manakala pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, pengajaran dan pembelajaran bagi semua program pengajian akan dilaksana secara dalam talian mulai 17 Jan ini.

Bagaimanapun, KPM menyatakan semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka.

KPM turut menyarankan agar semua ketetapan tersebut turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )