Operasi helikopter Nuri ditamatkan – Panglima TUDM

Operasi helikopter Nuri ditamatkan – Panglima TUDM

KUALA LUMPUR, 7 Jan — Operasi 12 buah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah ditamatkan, kata Panglima TUDM Jen Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

Beliau berkata pesawat berkenaan yang berusia 50 tahun terlalu uzur untuk beroperasi malah kos menyelenggaranya terlalu mahal.

“Jika TUDM ada duit sekalipun untuk membeli peralatan selenggara Nuri, ia memakan masa yang lama iaitu antara sembilan bulan hingga ke 18 bulan untuk memperoleh alat gantian.

“Selain itu, TUDM mempunyai perancangan untuk menggantikan pesawat berkenaan tetapi ia masih di peringkat penilaian,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas Panglima TUDM, di sini.

Ackbal berkata setakat ini beberapa jenis helikopter telah dikenalpasti untuk menggantikan Nuri sebagai tambahan kepada aset sedia ada.

Diminta mengulas peruntukan TUDM, Ackbal berkata peruntukan TUDM ketika ini berada di tahap yang ‘selesa’ dan pihaknya sentiasa mengoptimumkan keupayaan pengoperasian aset sedia ada serta meningkatkan kebolehan pasukan itu.

“Ketika ini TUDM mengutamakan perbelanjaan yang berhemah dan meminimumkan majlis keraian yang dirasakan tidak perlu,” katanya.

Pesawat Nuri itu pernah beberapa kali mengalami nahas termasuk terhempas dan mendarat cemas sejak tahun 1991.

Antaranya terhempas pada tahun 2010 di Sintok Kedah, pada tahun 2016 di Tawau Sabah dan Butterwoth Pulau Pinang tahun yang sama manakala yang terbaharu pesawat itu melakukan pendaratan cemas pada Ogos 2019 di Kem Gubir, Alor Star.

Terdahulu, dalam majlis penyampaian perintah ulungnya, Ackbal menyerahkan jawatan Timbalan Panglima TUDM kepada Lt Jen Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang berkuat kuasa pada hari ini.

Selain itu, Ackbal turut menggariskan lapan teras bagi menentukan legasi kegemilangan TUDM antaranya memperkasa keupayaan operasi TUDM, pelan pembangunan keupayaan TUDM 2055 dan pangkalan baharu di Sendayan Negeri Sembilan

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )