Nor Sarah cipta kejutan lompat bergalah, kuartet 4x100m lelaki pecah rekod

Nor Sarah cipta kejutan lompat bergalah, kuartet 4x100m lelaki pecah rekod

HANOI: Atlet lompat bergalah wanita kebangsaan Nor Sarah Adi mencipta kejutan dengan merangkul pingat emas Sukan SEA di Stadium Nasional My Dinh, sekali gus menamatkan kemarau emas 11 tahun bagi Malaysia.

Atlet berusia 22 tahun itu, yang sepatutnya hanya menyertai acara 4x100m wanita pada penampilan sulungnya di temasya dwitahunan itu, muncul juara selepas lompatan terbaik peribadinya dengan ketinggian 4.00 meter (m).

Lompatan itu mengatasi Chonticha Khabut dari Thailand yang melakukan lompatan 3.80m dan Alyana Martinez dari Filipina (3.60m), masing-masing meraih perak dan gangsa.

Tidak terhenti di situ sahaja, atlet berasal dari Pahang itu, kemudian membantu kuartet 4x100m wanita untuk meraih pingat gangsa.
Gandingan Nor Sarah dengan S. Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias mencatatkan 45.32 saat (s) manakala Thailand (44.39s) dan Vietnam (45.25s) meraih dua tempat teratas.

“Apabila menerima peluang untuk beraksi dalam acara lompat bergalah, peluang sebegini tidak selalu dapat. Jadi saya mahu memberikan yang terbaik walaupun berdepan kekangan masa untuk berlatih kerana hanya ada sebulan, hanya fokus teknik sahaja, tidak fokus asas lain.

Saya juga mengalami kecederaan belakang pada minggu lalu, Alhamdulillah segalanya sudah diatur sebaiknya oleh Tuhan. Saya bersyukur dapat melakukan lompatan 4m, rasa seperti bermimpi apabila memenangi pingat emas ini,” katanya kepada pemberita.

Kali terakhir Malaysia meraih emas acara lompat bergalah wanita adalah pada edisi 2011 di Indonesia menerusi Roslinda Samsu, yang muncul juara dengan mencatatkan rekod kejohanan 4.20m ketika itu.

Sementara itu, kuartet 4x100m lelaki turut berjaya mempamerkan aksi yang terbaik apabila merangkul perak dengan memecahkan rekod kebangsaan acara itu.
Gandingan mantap Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang menerima gelaran “Usain Bolt” Malaysia, Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail dan juara bertahan acara 100m lelaki Muhammad Haiqal Hanafi berjaya menamatkan larian dalam masa 39.09s.

Muhammad Zulfiqar berkata:”Selepas hampir lima bulan berlatih bersama-sama di Majlis Sukan Negara dan hasil bantuan Institut Sukan Negara, kami berjaya memperbaiki rekod kebangsaan kali ini.”
Rekod terdahulu adalah 39.27s yang dicatatkan oleh kuartet Nixson Kennedy, Muhammad Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan dan Russel Alexander Nasir Taib pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Thailand berjaya mempertahankan pingat emas dengan mencatatkan rekod kejohanan yang baharu dengan 38.58s, mengatasi rekod sendirinya 38.90s yang dilakukan di edisi KL 2017, manakala Singapura meraih gangsa dengan larian 39.44s.

Terdahulu pada acara 800m wanita, Savinder Kaur Joginder Singh berjaya meraih gangsa dengan catatan masa 2:10.240s, di belakang peserta tuan rumah Anh Khuat Phuong (2:08.740s) dan Agustina Mardika (2:09.90s) dari Indonesia.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )