
Noor Azam Mohd Yusof Dilantik Sebagai CEO Baharu Sun Life Malaysia Takaful
KUALA LUMPUR, 19 Februari 2025 – Sun Life Malaysia mengumumkan Noor Azam Mohd Yusof sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bagi Sun Life Malaysia Takaful Bhd (SLMT), menggantikan Jeffry Azmi yang telah bersara.
Pelantikan Azam, yang berkuat kuasa pada 3 Februari 2025, dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuhkan kedudukan syarikat dalam sektor bancatakaful di Malaysia.
Menurut Sun Life Malaysia, Azam mempunyai pengalaman luas dalam industri takaful dan insurans konvensional, dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang tersebut.
“Azam mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk pemasaran, jualan, bancassurance dan bancatakaful, pembangunan perniagaan serta transformasi strategik, menjadikannya pemimpin yang sesuai untuk menerajui SLMT,” kata Sun Life dalam satu kenyataan.
Sebagai CEO baharu, beliau akan menguruskan keseluruhan operasi perniagaan syarikat serta memastikan pematuhan syariah dan tadbir urus yang berkesan.
Azam juga akan memimpin pelaksanaan strategi jangka panjang SLMT, yang bertujuan untuk mengekalkan syarikat sebagai peneraju industri takaful dan memperluaskan lagi pengaruhnya di pasaran Malaysia.
Sebelum menyertai Sun Life, beliau pernah memegang jawatan CEO di sebuah syarikat takaful keluarga sejak 2017.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Pemasaran) dari Universiti Illinois Utara dan Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).