Nilai jualan pembuatan meningkat 3.7 peratus pada September 2020

Nilai jualan pembuatan meningkat 3.7 peratus pada September 2020

KUALA LUMPUR,. Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia berkembang sebanyak 3.7 peratus tahun ke tahun kepada RM121.2 bilion pada September, 2020, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan tahun ke tahun bagi nilai jualan pada bulan September 2020 dipacu oleh peningkatan dalam produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (14.3 peratus), produk makanan, minuman dan tembakau (14.2 peratus) dan produk peralatan elektrik & elektronik (7.2 peratus).

Bagaimanapun, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan September 2020 menyusut 2.3 peratus tahun ke tahun kepada 2.19 juta orang berbanding 2.24 juta sebelumnya.

Mohd Uzir berkata nilai jualan setiap pekerja meningkat 6.1 peratus tahun ke tahun kepada RM55,151 sementara purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,283.

Pada suku tahun ketiga 2020, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM358.8 bilion, didorong oleh kenaikan dalam produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (14.1 peratus), produk makanan, minuman dan tembakau (13.8 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (7.2 peratus).

Sementara, bilangan pekerja dan gaji dan upah masing-masing menyusut 2.3 peratus dan 2.7 peratus dalam tempoh berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )