Nicol dilantik sebagai duta AIA

Nicol dilantik sebagai duta AIA

KUALA LUMPUR,. Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dilantik sebagai duta kepada syarikat insurans terkemuka negara, AIA Malaysia Bhd.

Nicol akan memainkan peranan aktif dalam mempromosikan usaha syarikat berkenaan bagi memperkasakan rakyat Malaysia untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd, Ben Ng berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Nicol yang sudah banyak mencetuskan impak positif terhadap sukan global.

“Kerjasama ini tepat pada masanya yang mana terdapat peningkatan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Kami amat gembira dapat bekerjasama dengan Nicol, salah seorang ikon sukan tersohor dalam kalangan rakyat Malaysia yang mana popularitinya merentas generasi untuk mendorong orang ramai menjaga diri dan keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Mengulas mengenai pelantikannya sebagai duta AIA, Nicol, berkata: “Kesihatan sentiasa menjadi keutamaan saya sama ada dalam kerjaya profesional sebagai atlet mahupun untuk keyakinan peribadi sebagai individu.

“Disebabkan itu, saya dapat merasakan keserasian dengan AIA dan saya berbesar hati penyokong inisiatif mereka agar rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bermakna,” kata juara dunia lapan kali itu.

Beliau juga memegang status sebagai pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )