
Nestcon dapat subkontrak ECRL bernilai RM90.4 juta
KUALA LUMPUR,. Nestcon Bhd menerima dua anugerah subkontrak daripada China Communications Construction Sdn Bhd yang membabitkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kota Bharu, Kelantan bernilai RM90.4 juta melalui anak syarikat milik penuhnya, Nestcon Infra Sdn Bhd.
Syarikat pembinaan dan kejuruteraan itu memberitahu Bursa Malaysia dalam maklumannya bahawa kerja-kerja infrastruktur untuk pembinaan dan penyiapan kerja-kerja subgred adalah untuk Pakej S1-1, Seksyen 1, dan Pakej S1-2 Seksyen 1, masing-masing bernilai RM44.98 juta dan RM45. 42 juta.
“Tarikh permulaan kerja-kerja subkontrak ialah 7 Februari 2022 dan tempoh pembinaan untuk Projek S1-1 dan Projek S1-2 adalah dalam tempoh 32 bulan dan 28 bulan dari tarikh permulaan masing-masing,” kata syarikat itu.
Nestcon berkata, kerja-kerja itu dijangka siap pada 30 September 2024 untuk Projek S1-1 dan 31 Mei 2024 untuk Projek S1-2.
Anugerah itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan penggearan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan sepanjang tempoh kerja-kerja subkontrak.
–BERNAMA