NEKMAT sedia khidmat hantar ikan ke rumah

KUALA LUMPUR,. Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan ikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) menyediakan perkhidmatan Jualan Ikan Segar Beku (QFish) dan makanan laut dengan menghantarnya ke rumah pelanggan melalui pesanan kepada ‘runner’ di bawah selian persatuan itu.

Pengerusinya Abdul Hamid Bahari berkata buat permulaan, perkhidmatan di bawah program NEKMATbiz itu disediakan sekitar Lembah Klang sahaja.
“Buat masa ini, orang ramai sekitar Kuala Lumpur boleh membuat tempahan ikan secara dalam talian di www.nekmatbiz.com.my.

“Selain itu, semua pesanan akan turut diiklankan di Facebook NEKMAT setiap hari seawal pukul 7 pagi sehingga 1 tengah hari.
“Ikan seperti Pelaling, Kembung dan Selayang dijual dengan harga RM4 sekilogram,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Semua penghantaran akan dibuat dari Pusat Pengumpulan dan Pengedaran NEKMAT Taman Wahyu di sini.

Abdul Hamid berkata pihaknya membeli ikan segar daripada nelayan yang terus dihantar ke tempat simpanan sebelum dibekalkan kepada pengguna.

Sehingga kini, terdapat 50 tan stok ikan Qfish dalam simpanan NEKMAT.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )