Negeri Sembilan terima ‘lampu hijau’ jalani latihan
KUALA LUMPUR,. Pasukan Negeri Sembilan yang beraksi dalam kancah Liga Premier, muncul pasukan pertama menyerahkan pengesahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk kembali memulakan sesi latihan.
Perkembangan itu menyaksikan Negeri Sembilan bakal menjadi pasukan sulung mengendalikan latihan berpasukan di padang buat kali pertama sejak penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 pada Mac lepas susulan pandemik COVID-19.
Dengan melengkapkan empat perkara wajib digariskan MFL, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan skuad bimbingan ketua jurulatih, Sazali Saidon itu dibenarkan menjalani sesi latihan seawal esok.
“MFL hari ini hanya menerima satu pengesahan mengenai pematuhan SOP bagi menjalani latihan iaitu daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS). PBNS telah lengkapkan empat perkara wajib yang digariskan dan mereka boleh menjalani latihan berpasukan bermula esok,” katanya kepada Bernama hari ini.
Dua perkara utama dalam pematuhan SOP digariskan MFL adalah setiap pasukan perlu menyerahkan ujian swab yang telah disahkan oleh doktor pasukan kepada MFL selain melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP di peringkat pasukan.
Selain itu, pasukan wajib menamakan pusat latihan yang diadakan di kawasan tertutup dan tempat latihan perlu didaftarkan melalui pautan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) iaitu notification.miti.gov.my.
Isnin lepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi kebenaran untuk semua sukan berpasukan dan sukan tempur memulakan latihan tanpa sentuhan badan dengan melakukan jarakan sosial antara tiga hingga lima meter bermula 15 Jun ini.
Sementara itu Ab Ghani berkata pasukan perlu memanfaatkan kelonggaran menjalani latihan berkenaan untuk membaut persiapan setelah lebih tiga bulan tidak mempunyai sebarang aksi kompetitif dan latihan berintensiti tinggi.
Katanya persiapan rapi terutama terhadap aspek kecergasan dapat mengelakkan pemain daripada sebarang kecederaan serius yang mampu menjejaskan persembahan pasukan apabila Liga-M bersambung pada September depan.
“Dengan kebenaran diberikan kerajaan ini saya harap pasukan dapat menyediakan pemain sebaik mungkin untuk menghadapi saingan liga selepas berehat panjang. Kecergasan pemain perlu dimantapkan supaya dapat mengelak daripada sebarang kecederaan,” tambahnya.
— BERNAMA