Nasib berbeza dua perenang negara walaupun terlepas ke final
TOKYO,. Dua perenang negara mengalami nasib berbeza walaupun terkandas di peringkat saringan pada hari ketiga saingan Sukan Paralimpik Tokyo semalam.
Biarpun menamatkan renangan di kedudukan terakhir dalam saringan kedua acara 50 meter (m) kuak kupu-kupu wanita S5 (kecacatan fizikal), Brenda Annellia Larry menampilkan persembahan terpuji apabila memperbaiki catatan peribadinya dalam saingan yang berlangsung di Pusat Akuatik.
Atlet Sabah berusia 16 tahun itu mencatat masa 1 minit 00.62 saat (s) untuk menduduki tempat ketujuh.
Sebelum ini, atlet termuda negara untuk kempen Paralimpik Tokyo itu mencatat masa peribadi terbaik iaitu 1:09.72s yang dilakukan di Singapura pada 2019.
Perenang China, Dong Lu memenangi saringan itu dengan mencatat masa 40.74s diikuti rakan senegaranya, Jiao Cheng dengan masa 43.05s manakala tempat ketiga pula disambar perenang Brazil, Joana Maria da Silva Neves Euzebio, 46.32s.
Brenda menduduki tempat ke-13 daripada keseluruhan 14 pelumba daripada kedua-dua saringan dan hanya lapan perenang terbaik layak ke final.
Sementara itu, seorang lagi perenang negara, Jamery Siga jelas hampa apabila impiannya untuk sekurang-kurangnya memperbaharui rekod peribadi tidak kesampaian selepas mencatat 40.32s.
Rekod peribadi terbaiknya sebelum ini ialah 38.28s yang dilakukan di Kejohanan Renang Para Dunia di London, United Kingdom pada 2019.
Perenang Sarawak berusia 36 tahun itu juga mengakui permulaan yang kurang baik dalam saingan hari ini mengakibatkannya mengakhiri kempen di Jepun di tempat terakhir dalam saringan ketiga acara 50m kuak kupu-kupu lelaki S5.
Jamery yang membuat penampilan ketiga Paralimpik di Jepun menduduki tangga keenam dalam saringan berkenaan manakala Tao Zheng dari China mengungguli saingan itu selain turut memecah rekod dunia dengan masa 32.34s diikuti Yaroslav Semenenko dari Ukraine dengan 34.55s dan ketiga pula milik perenang tuan rumah, Kaede Hinata dengan 37.8s.
Dalam pada itu, beliau yang mengalami polio sejak usia lima tahun sehingga mengakibatkan tangan kanannya kecut juga mendedahkan kempennya di Paralimpik Tokyo adalah yang terakhir memandangkan usianya yang makin lanjut sekiranya mahu beraksi di Paris 2024.
“Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tidak mampu buktikan yang terbaik, mungkin ini Paralimpik terakhir saya, umur pun makin meningkat,” katanya kepada Bernama dalam nada sebak.
Bagaimanapun, beliau masih lagi berminat untuk terus mewakili negara dan akan kembali fokus untuk misi seterusnya dalam kejohanan serta temasya sukan lain termasuk Sukan Para Asia di Hangzhou, China tahun depan.
— BERNAMA