Najib kemuka petisyen kepada PBB, mohon bebas daripada penjara atau kes SRC dibicara semula
KUALA LUMPUR,. Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkaitan Penahanan Arbitrari (UNWGAD) memohon agar dibebaskan daripada penjara atau kes SRC International Sdn Bhd dibicarakan semula.
Bekas Perdana Menteri itu memfailkan petisyen tersebut pada 1.30 tengah hari di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva secara digital melalui Tetuan Shafee & Co.
Pada sidang akhbar, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya memfailkan petisyen itu susulan pendengaran rayuan kes tersebut di Mahkamah Persekutuan yang didakwa mempunyai kecacatan serius dan bercanggah dengan peraturan keadilan antarabangsa.
“Najib memohon panel UNWGAD yang terdiri daripada lima pakar mengenai keadilan antarabangsa untuk memutuskan bahawa penolakan rayuannya oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lepas adalah tidak adil, cacat serta mencabuli hak asasi beliau dan Perlembagaan Persekutuan.
“Prosiding Mahkamah Persekutuan gagal memberikan peluang yang munasabah kepada beliau untuk menghujahkan kesnya dan menafikan peguamnya masa yang mencukupi untuk membuat persiapan.
“Malah mahkamah itu juga tidak membenarkan pasukan pembelaan beliau untuk berhujah ketika rayuan mengenai hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhi ke atasnya,” kata peguam itu.
Beliau juga berkata tempoh beberapa hari terakhir sebelum pendengaran rayuan itu telah membawa kepada “keadilan yang tergesa-gesa” apabila pembelaan tidak diberikan masa secukupnya yang diperlukan untuk meneliti berpuluh-puluh ribu halaman dokumen rayuan atau memahami 94 alasan rayuan yang difailkan oleh peguam terdahulu Najib.
Muhammad Shafee berkata justeru Najib menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa kerajaan semasa akan mematuhi keputusan yang akan dibuat oleh UNWGAD.
Ketika ditanya sama ada permohonan semakan Najib terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya yang ditetapkan untuk pendengarann pada 19 Jan di Mahkamah Persekutuan akan ditangguh susulan petisyen itu, Muhammad Shafee berkata pihaknya bersedia untuk meneruskan kes tersebut pada tarikh berkenaan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
— BERNAMA