
MYDIN lancarkan kempen ‘Excited Raya’ persiapan Ramadan, Aidilfitri
KUALA LUMPUR,. MYDIN Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) telah melancarkan kempen ‘Excited Raya’ sebagai persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba. Majlis pelancaran diadakan di MYDIN Seremban 2, kelmarin.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, di MYDIN Seremban 2. Kempen ini bertujuan untuk menawarkan penjimatan besar, peraduan menarik, serta pelbagai aktiviti perayaan.
Antara promosi istimewa termasuk baju Melayu untuk dewasa dan kanak-kanak bermula dari RM30, baju kurung dewasa pada harga RM59.90, dan baju kurung kanak-kanak dari RM39.90, serta pelbagai keperluan perayaan lain.
Sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR), MYDIN bekerjasama dengan 53 rakan pembekal untuk mengumpul dana sebanyak RM300,000 melalui pembelian jenama terpilih. Sumbangan ini akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan menerusi MYDIN Prihatin.
MYDIN juga membawa kembali program Iftar Sinar MYDIN 2025 dengan kerjasama Sinar Harian dan rakan pembekal di sembilan lokasi di seluruh negara.
Menyedari cabaran kewangan selepas musim persekolahan, Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, berharap tawaran ini dapat membantu rakyat Malaysia dalam membuat persiapan Aidilfitri.
Pelanggan yang menggunakan e-dompet seperti Atome, MYDINPay, MYDIN PayFlex dan Shopback boleh menikmati ganjaran pulangan tunai bernilai sehingga RM150,000 serta diskaun produk dari 21 Februari hingga 30 Mac 2025.
Selain itu, peraduan ‘Balik Kampung Macam VIP’ dengan kerjasama Ambi Pur dan Febreze menawarkan peluang kepada pelanggan yang membelanjakan RM20 atau lebih ke atas produk tersebut untuk memenangi perjalanan pulang ke kampung dengan kereta premium sempena Hari Raya.
Sepanjang Ramadan, MYDIN bersama jenama seperti 100 Plus, Adabi, Bestari, Faiza dan Ramly akan mengagihkan 45,000 hidangan bubur lambuk di lokasi terpilih. Kempen ‘Excited Raya’ ini berlangsung dari 1 Februari hingga 30 April 2025.