Musuh Tak Serik Mahu Jatuhkan UMNO, Akar Umbi Tak Mudah ‘Diremote’ – Ahmad Zahid

Musuh Tak Serik Mahu Jatuhkan UMNO, Akar Umbi Tak Mudah ‘Diremote’ – Ahmad Zahid

Oleh: Nurul Saadah Latib

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Usaha untuk memulihkan UMNO selepas dilanda badai fitnah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukanlah suatu kerja yang mudah, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, sekiranya diimbau kembali ketika itu parti berada di dalam keadaan serba tidak kena kerana musuh menyerang dari serata penjuru untuk menjatuhkan parti keramat ini. “Kiri kanan, depan belakang, atas bawah musuh tidak pernah berhenti cuba menyekat. Musuh nyata sudah pasti. Musuh tidak nyata berselindung dalam kesamaran penuh hasutan.

“Musuh tahu UMNO parti keramat bangsa, agama dan parti terbesar umat Melayu mampu bangkit semula,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook. Beliau berkata pelbagai cara yang telah dilakukan kelompok ini untuk menambahkan titik hitam kepada UMNO namun ianya tidak menjadi akibat taatnya pemimpin dan ahli akar umbi kepada parti.

Bagaimanapun kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, musuh ini tidak pernah berputus asa malah melakukan pelbagai strategi untuk memastikan UMNO berada di dalam kawalan mereka. “Kerana itu mereka berusaha gigih menghancurkan UMNO ‘once and for all‘ sejak dua tahun lalu. Bagaimanapun usaha itu tidak pernah berjaya kerana kedegilan pemimpin dan ahlinya.

“Untuk itu UMNO mahu dalam kawalan mereka pula selepas riwayatnya tidak mampu ditamatkan,” ujarnya. Kata Ahmad Zahid lagi, usaha itu termasuklah menggunakan individu yang kononnya berjuang berlandaskan kepada dasar penyatuan ummah.

“Andai berjaya, jenama UMNO boleh dipergunakan. Jutaan ahli UMNO boleh ‘diremote’ dan dikudakan. Tanpa cabaran pemimpin dan ahli UMNO, kedudukan dan kekuasaan mereka lebih selesa dan terjamin.

“Walaupun itu bermaksud kebajikan rakyat terabai, ekonomi merundum manakala demokrasi tercalar,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, akibat tidak akur kepada kehendak kelompok ini mengakibatkan segelintir pemimpin UMNO menjadi korban dengan pendakwaan di mahkamah.

“Sedangkan pemimpin UMNO ‘kluster mahkamah’ inilah yang berani dan setia memperjuangkan UMNO walau apa menimpa mereka. “Jika mahu lihat bagaimana kaedah menyelamatkan diri, boleh lihat katak yang kini selesa di seberang jalan.

“Boleh juga lihat kepada burung belatuk yang sedang kekenyangan dapat dedak di belakang rumah,” katanya.

– UMNO Online

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )