
Muhyiddin didakwa di mahkamah hari ini
KUALA LUMPUR,. Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan isu berkaitan.
Muhyiddin bakal menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Muhyiddin hari ini hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini bagi menghadapi enam pertuduhan di bawah Akta SPRM.
Muhyiddin, 75, yang memakai sut lengkap berwarna gelap tiba di mahkamah dengan menaiki kenderaan Toyota Alphard pada 8.40 pagi yang ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh kelihatan tenang ketika berjalan masuk ke bangunan berkenaan dengan tersenyum kepada media dan orang ramai.
Kelihatan ahli keluarga dan anak Muhyiddin turut hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan kepada ahli politik itu.
Presiden Bersatu itu bakal menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Semalam, Muhyiddin dipanggil ke SPRM Putrajaya untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir.
Bagaimanapun, pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dibebaskan dengan jaminan SPRM semalam.
Sementara itu, petugas media dari pelbagai agensi mula berkumpul sejak 7 pagi tadi untuk membuat liputan kes berkenaan.
SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu, dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
— BERNAMA