Muhammad Razie wira Speedy Tigers raih kemenangan sulung di UK

Muhammad Razie wira Speedy Tigers raih kemenangan sulung di UK

KUALA LUMPUR,. Skuad hoki lelaki kebangsaan akhirnya meraih kemenangan sulung pada Siri Jelajah United Kingdom 2021, selepas menewaskan kelab England Beeston H.C 3-1 di Pusat Hoki Nottingham, pada Sabtu.

Kejayaan itu hadir pada perlawanan keempat siri jelajah berkenaan selepas skuad bimbingan Ketua Jurulatih A. Arulselvaraj. merekod dua keputusan seri dan satu tewas, dalam tiga aksi pertama berdepan pasukan berstatus kelab, demikian menurut kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Muhammad Razie Abd Rahim muncul wira pasukan selepas meledak hatrik menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-12, ke-35 dan ke-42 manakala Beeston H.C meraih gol sagu hati pada minit ke-18 juga daripada pukulan sudut penalti.

“Kemenangan pertama 3-1 merupakan jaringan pukulan sudut penalti Razie Rahim di mana kami memperoleh empat pukulan sudut penalti dan beliau menjaringkan tiga daripadanya, sementara lawan memperoleh lima pukulan sudut penalti.

“Dari segi perlawanan, pemain mengawal permainan dengan baik, lebih teratur dan bermain dalam tempoh perlawanan yang agak tinggi. Kemenangan hari ini juga akan menaikan semangat pemain kerana ini aksi terakhir bertemu kelab di sini,” kata Arulselvaraj dalam kenyataan tersebut.

Berbaki enam perlawanan dalam siri jelajah itu, skuad ‘Speedy Tigers’ akan dicabar skuad kebangsaan Ireland, Wales dan Perancis dengan empat daripada keseluruhan baki enam perlawanan itu adalah berstatus perlawanan ujian.

Arulsevaraj berkata pasukan negara akan bertolak ke Ireland hari ini untuk berdepan skuad tuan rumah yang dijadual berlangsung pada 6 Oktober.

Sementara itu, pemain tengah kebangsaan Meor Muhammad Azuan Hassan menyifatkan kemenangan diraih pasukan negara adalah pemangkin semangat buat mereka menghadapi empat perlawanan ujian.

“Syukur Alhamdulillah, ini kemenangan pertama kami menentang pasukan kelab England dan kami akan menjadikan kemenangan ini sebagai persediaan bagi bertemu Ireland dan Wales. Perlawanan sebelum ini kami berjaya jaringkan gol menerusi gerakan padang dan ia sesuatu yang baik.

“Kali ini pula kami menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti dan tiga gol tersebut cukup baik untuk kami kerana keseimbangan dalam menjaringkan gol dapat dilihat dan kami akan melakukan persediaan lebih lagi untuk bertemu Ireland dan Wales,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )