MUFC buntu mencari kemenangan

MUFC buntu mencari kemenangan

MELAKA United Football Club (MUFC) terus buntu mencari kemenangan sulong mereka, selepas sekadar seri 0-0 ketika melayan kunjungan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pengendalinya Zainal Abidin Hassan mengakui perlu mempertajamkan jentera serangan, selepas gerakan penyudah barisan hadapan pasukannya itu dilihat mensia-siakan beberapa peluang terhidang.

Bagaimanapun, beliau memuji peningkatan prestasi dan displin tinggi yang ditunjukkan para pemain, terutama di bahagian pertahanan.

“Ini yang harus dikekalkan dalam perlawanan akan datang ketika bertemu Terengganu Rabu hadapan, di tempat lawan. Kita perlu mendapatkan gol untuk meraih kemenangan, kerana tiga mata amat berharga untuk kita perbaiki kedudukan.

“Bertemu Terengganu mungkin agak sukar, kerana mereka sudah pasti akan mengawal ketat gawang mereka daripada dibolosi, namun kita akan pastikan mampu mencari peluang yang terbaik untuk dapatkan kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut di sini, malam tadi.

Beliau turut berharap seorang pemain import pasukannya Stefan Nikolic yang masih cedera, untuk segera pulih bagi membantu pasukan mendapatkan jaringan gol.

MUFC yang mengumpul tiga mata kini berada di tangga kesembilan carta Liga Super selepas mencatatkan keputusan seri dalam tiga perlawanan berturut-turut, manakala Pahang berada di kedudukan kedua tercorot dengan hanya satu mata.

– BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)