Muafakat Nasional penting untuk jayakan aspirasi Perikatan Nasional – MPT Bersatu

Muafakat Nasional penting untuk jayakan aspirasi Perikatan Nasional – MPT Bersatu

KUALA LUMPUR,. Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendapat penyertaan parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) adalah langkah penting untuk menjayakan aspirasi Perikatan Nasional (PN), iaitu gabungan politik merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ahli MPT Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil menjelaskan, MN ideal untuk mendapatkan sokongan kawasan Semenanjung yang didominasi pengundi Melayu, namun perlu ada gabungan yang lebih menyeluruh iaitu PN.

Katanya, ia bagi memastikan keseluruhan Malaysia diambil kira dalam urusan pembangunan negara.

“Jadi akhirnya MPT mencapai satu conclusion (rumusan) kita akan berada di dalam. Maksudnya kita dari segi semangat, kita akan bersama Muafakat Nasional (MN) untuk menjayakan Perikatan Nasional (PN). Kerana Muafakat Nasional ni bagi kita macam preliminary untuk menjadikan menjayakan perikatan.
“Muafakat Nasional… bukannya satu gabungan yang ultimately. Bukannya satu gabungan yang maknanya paling akhir,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengumumkan UMNO tidak akan menyertai sebarang usaha untuk menubuhkan PN.

Selain itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu telah menzahirkan hasrat untuk menyertai MN.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Shahrir berpendapat, pandangan Ahmad Zahid tidak mencermin pendirian PAS sendiri.

“Kerana dia tak boleh cakap bagi pihak PAS. PAS belum cakap apa-apa lagi. Jadi, maksudnya dia lebih nak memperkasakan Muafakat Nasional dan tak perlu tubuh perikatan.

“Tapi hujah yang kami berikan bahawa, Muafakat Nasional adalah semenanjung affairs. How are we going to tackle Borneo affairs? Maknanya melalui Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Wan Mohd Shahrir, yang juga Pengerusi Bersatu Pahang berkata lanjut, UMNO dilihat seolah-olah masih cuba menjadi ‘abang besar’ dalam sebarang gabungan politik, termasuk dalam usaha menjayakan gabungan baharu.

“Sedang Bersatu dan mungkin juga pendirian Pas, mereka lebih cenderung untuk mempunyai kata yang sama, atau bahasa mudahnya ‘equal partner’.

“Bahawasanya, UMNO sebuah parti yang tak pernah berunding. Ini adalah pengalaman pertama mereka untuk belajar berunding kerusi (sejak kekalahan di PRU-14 lepas).

“Jadi mereka tak boleh nak mengatakan mereka kuat macam dulu, yang mereka tak perlu perundingan langsung, dia lawan seorang sahaja dia boleh menang. Jadi mereka dah sedar tak boleh menang bersendirian, tetapi tabiat mereka nak jadi abang besar itu tetap ada,” katanya lagi.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )