MTUC kecam MEFF cadangan pecat pekerja terperangkap PKPB

MTUC kecam MEFF cadangan pecat pekerja terperangkap PKPB

KUALA LUMPUR,. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kesal dengan

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) kerana memberi jalan penyelesaian mudah kepada majikan untuk memecat pekerja yang terperangkap di kampung ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, berkata Seksyen 15(2) Akta Kerja 1955 tidak terpakai untuk memecat pekerja selagi mereka memaklumkan majikan mengenai kelewatan melapor diri untuk bertugas.

Beliau menyifatkan MEF hanya memutar-belitkan peruntukan itu untuk mengambil tindakan terhadap pekerja sedangkan terdapat syarat kabur dan tafsiran yang berubah-ubah dalam seksyen berkenaan.

“MTUC amat kesal dengan tindakan MEF yang menyalah guna peruntukan itu untuk memecat pekerja terperangkap di kampung akibat PKPB dan tidak boleh pulang bekerja mengikut jadual.

“MEF sengaja memutar-belitkan peruntukan itu untuk mengambil tindakan terhadap pekerja kerana terdapat syarat kabur dalam seksyen berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pekerja swasta yang terperangkap di kampung kerana melanggar PKPB, boleh dibuang kerja jika tidak kembali bertugas ke pejabat lebih dua hari berturut-turut.

Beliau berkata, tindakan itu boleh dilakukan mengikut seksyen berkenaan yang memperuntukkan seseorang pekerja dianggap melanggar kontrak perkhidmatannya jika tidak hadir bekerja selama lebih dua hari berturut-turut tanpa memaklumkan awal kepada majikan.

Solomon turut mendakwa, penyelesaian dikemukakan MEF itu seperti satu taktik untuk dilaksanakan majikan bagi mengurangkan tenaga kerja di syarikat mereka.

Beliau berkata, memecat pekerja mengikut seksyen itu juga tidak wajar dalam kes membabitkan PKPB kerana pekerja seperti dikenakan tindakan dua kali iaitu daripada pihak berkuasa dan majikan.

“MTUC kesal kerana MEF nampaknya memberi idea atau jalan kepada majikan untuk membuang pekerja sewenang-wenangnya dengan menyalah tafsir seksyen berkenaan.

“Mengugut untuk membuang pekerja yang melanggar PKPB hanya mencerminkan keangkuhan dan pengkhianatan majikan terhadap kebajikan pekerja.

“Ia tidak lebih daripada taktik tidak bermoral untuk mengurangkan tenaga kerja,” katanya.

Sebaliknya, Solomon menyarankan MEF memberi perhatian kepada kewujudan kluster baharu COVID-19 yang terus dikesan di tapak pembinaan, khususnya membabitkan pekerja asing.

Katanya, MEF ketika ini perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi membela kebajikan dan keselamatan termasuk menangani masalah tempat penginapan pekerja asing yang berisiko tinggi menjadi sarang jangkitan virus berkenaan.

“Jangan bingkas mengugut untuk memecat pekerja (terperangkap akibat PKPB) kerana menyambut Aidilfitri dalam pelbagai kekangan. Ini bukan cara untuk melayani saudara saudari Muslim kita,” katanya.

–BH

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )