MTBC tidak tergesa-gesa cari pengganti Syaidatul Afifah

MTBC tidak tergesa-gesa cari pengganti Syaidatul Afifah

KUALA LUMPUR,. Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) tidak tergesa-gesa mencari pengganti pemain wanita elit tenpin boling kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi yang mengumumkan persaraannya baru-baru ini.

Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok berkata pembatalan beberapa kejohanan antarabangsa tahun ini disebabkan pandemik COVID-19 adalah antara sebab mereka belum menemui pengganti.

Beliau bagaimanapun, percaya skuad sandaran wanita mempunyai kriteria untuk menggantikan tempat Syaidatul Afifah pada masa depan.

“Kami merasakan tidak ada keperluan segera untuk mengisi tempatnya kerana kami memiliki skuad sandaran wanita yang kuat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan wakil Majlis Olimpik Malaysia (OCM) mengenai maklum balas Sukan Malaysia (Sukma) di Wisma OCM di sini hari ini.

“Lima pemain wanita dalam skuad sandaran kami bermain dengan baik dan mereka setanding dengan skuad elit, tetapi mereka perlu lebih banyak pendedahan dengan bertanding dalam lebih banyak kejohanan antarabangsa,” katanya.

Lima pemain wanita berkenaan ialah Fatin Najihah Ahmad Faik, Gillian Lim Siew Giok, Nerosha Keligit, Nora Lyana Nastasia Norkamal dan Nur Syazwani Sahar.

Awal bulan ini, Syaidatul Afifah, 29, mengumumkan persaraannya dalam sukan ini selepas 11 tahun berusaha keras membawa kejayaan buat negara, dengan alasan beliau perlukan ‘kerjaya yang lebih stabil’.

Mengenai rancangan untuk skuad elit dan sandaran, Chok berkata mereka akan menjalani ‘roll-off’ bulanan bagi memastikan mereka tetap cergas untuk pertandingan tahun depan.

Beliau berkata MTBC merancang untuk membuat penggiliran antara skuad elit dengan sandaran bagi pertandingan tahun depan yang dijangka mempunyai jadual ketat.

Mengenai mesyuarat hari ini, Chok berkata tiada acara trio dipertandingkan dalam Sukma 2020 di Johor kerana kenaikan kos untuk menganjurkan sukan itu menjadi faktor utama kepada pengecualian itu.

Bagaimanapun, beliau berharap acara itu akan dikembalikan pada edisi 2022 untuk melahirkan lebih ramai pemain muda yang berpotensi pada masa depan.

Sebelum ini, Selangor, Kedah dan Sabah menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah bagi edisi 2022.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )