MPN gesa proses kelulusan pekerja asing disegerakan

PUTRAJAYA,. Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan proses kelulusan bagi permohonan pengambilan pekerja asing disegerakan dengan mengurangkan kerenah birokrasi, mempermudah dan menambah baik proses kelulusan bagi menampung keperluan pekerja dalam industri yang mendesak.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata majlis dimaklumkan daripada 4,561 permohonan kuota pekerja asing yang diterima, hanya 163 yang sedang diproses namun belum diluluskan.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini hari ini, Muhyiddin berkata MPN menyedari keluhan dan kerugian yang dialami pengusaha industri terutamanya dalam sektor perladangan, perkilangan dan perkhidmatan akibat kekangan tenaga kerja yang mendesak setelah ekonomi dibuka sepenuhnya.

“Seperti disebutkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, semasa COVID-19 tidak ada pekerja asing masuk membantu menurunkan buah kelapa sawit, negara rugi lebih RM10 bilion, dan sekarang ini harga kelapa sawit cukup tinggi, kalau masih dilewatkan lagi dengan tidak ada pekerja asing, (ini) menambah besar lagi kerugian pada negara kita,” katanya.

Sebagai langkah jangka pendek, Muhyiddin berkata MPN mencadangkan supaya kelulusan bersyarat diberikan kepada permohonan yang sedang diproses untuk menyegerakan bekalan tenaga kerja asing kepada sektor-sektor yang terjejas.

Bagi jangka masa panjang, MPN berpandangan isu struktural kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing perlu ditangani secara menyeluruh, katanya.

Sementara itu, ditanya pandangan MPN sama ada masih relevankah keperluan untuk mengimbas MySejahtera setiap kali masuk ke premis-premis, Muhyiddin berkata perkara itu terserah kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, KKM berpendapat ia perlu kerana banyak data masih diguna pakai untuk memastikan kawalan COVID-19, katanya.

“Sebab itu kita serahkan kepada kebijaksanaan KKM untuk timbang bilakah sistem MySejahtera akan digunakan atau tidak lagi diguna pakai,” katanya dan menambah MPN juga mengesyorkan penggunaan MySejahtera sebagai alat pengesanan kontak dikaji bagi penggunaan yang lebih berkesan dalam peralihan ke fasa endemik.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )