Moto2: UMW Grantt International teruskan tajaan untuk Hafizh Syahrin

Moto2: UMW Grantt International teruskan tajaan untuk Hafizh Syahrin

KUALA LUMPUR,. UMW Grantt International Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar minyak pelincir GRANTT yang juga anak syarikat Kumpulan UMW meneruskan penajaan buat tahun kedua bagi pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah.

Perjanjian penajaan itu telah ditandatangani oleh Pemangku Pengarah Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW Anas Nasrun Mohd Osman dan Hafizh Syahrin pada Selasa.

UMW Grantt International Sdn Bhd dalam satu kenyataan menzahirkan keyakinan penyambungan penajaan buat pelumba NTS RW Racing GP untuk musim 2021 itu akan memberi kelebihan bagi kedua belah pihak, memandangkan ia bukan sahaja menyediakan sokongan kewangan kepada Hafizh Syahrin tetapi secara tidak langsung dapat mempertingkatkan perkembangan sukan permotoran di Malaysia.

Anas Nasrun pula berkata beliau percaya pengalaman dan pencapaian Hafizh Syahrin akan memberikan kelebihan dan daya saing kompetitif kepadanya untuk menjulang nama negara ke peringkat seterusnya dalam Kejohanan Dunia MotoGP.

“Kami sangat teruja kerana dapat bersama mengembangkan industri permotoran di Malaysia. Penajaan ini akan memberikan sokongan penuh kepada penyertaan Hafizh Syahrin untuk bersaing di Kejohanan Moto2 bagi 2021,” katanya dalam kenyataan sama.

Menurut kenyataan itu, penajaan berkenaan juga merupakan platform bagi UMW untuk memperkenalkan minyak pelincir GRANTT ke persada antarabangsa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )