MOSTI sasar 5,000 peluang pekerjaan tahun hadapan

MOSTI sasar 5,000 peluang pekerjaan tahun hadapan

SEREMBAN,. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan 5,000 peluang pekerjaan menerusi pelbagai program dan inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata seramai 4,145 individu dalam bidang ‘deeptech’ (deep technology) dan berkaitan, telah mendapat pekerjaan melalui inisiatif itu bermula awal Januari hingga 31 Ogos lepas.

Katanya MOSTI menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan pelaksanaan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional, bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia supaya lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa.

“Jadi sasaran 4,700 peluang pekerjaan menerusi inisiatif tersebut diyakini dapat dicapai sebelum akhir tahun ini,” katanya pada pemberita selepas melawat Program Ruang Reka di Taman Rasa Sayang, Paroi di sini hari ini.

Beliau berkata MOSTI sebagai ahli tetap Majlis Pekerjaan Negara (NEC) memberi tumpuan kepada kluster ‘Deeptech’ dan ‘Future Skills’, yang memainkan peranan penting memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden, selain mempercepat penerapan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan dron.

Mengenai program hari ini, Adham berkata Program Ruang Reka Komuniti merupakan inisiatif pembangunan usahawan inovasi (innopreneur), untuk mengalakkan lebih ramai dalam kalangan B40 dan M40 menceburi bidang keusahawanan berlandaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Katanya program tersebut dikendalikan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) komited meningkatkan taraf hidup dan pendapatan komuniti setempat, melalui aktiviti pengkomersialan.

“Melalui Ruang Reka ini, pendedahan dan latihan kemahiran dalam penggunaan teknologi seperti 3D Printer, Robotik, Virtual Reality (VR) bagi aktiviti inovasi mereka,” katanya.

Katanya setakat ini YIM membangunkan dua projek rintis Ruang Reka di Taman Rasa Sayang di Paroi dan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Kuala Terengganu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )