
Mohamad Sabu menteri contoh tanam bawang di kediaman rasmi beliau

Lima batas disediakan dalam sebuah plot dalam kawasan kediaman rasmi menteri ditanam dengan benih bawang. Gambar FB Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR: Sesuai kedudukan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menunjukkan contoh yang baik apabila memanfaatkan ruang kosong di kediaman rasminya dengan mengusahakan aktiviti pertanian terbaharu iaitu menanam bawang.
Beliau yang mesra dengan panggilan Bang Mat atau Mat Sabu, sebelum ini berjaya menternak ikan talapia di rumahnya sejak pertengahan tahun lalu, kini dalam peringkat menyemai benih bawang rose Ehsan.
“Bang Mat memanfaatkan kawasan yang ada di kediaman rasmi menteri dengan menyemai 1,000 benih bawang rose Ehsan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Dr Mohamad Khairil.
“Kaedah yang Bang Mat gunakan ialah ‘Raised Garden Box’ dengan keluasan 20′ x 20”, supaya tanaman lebih teratur dan mudah untuk diuruskan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsi menerusi hantaran itu, beliau melakukan sendiri kerja-kerja menyemai benih bawang atas lima batas yang disediakan itu.
Mohamad berkata, sebelum ini beliau berkunjung ke Selangor Fruit Valley untuk melihat penanaman bawang rose Ehsan di kawasan seluas 10.11 hektar.
“Usaha ini selaras dengan komitmen kita bersama dalam memastikan keterjaminan makanan negara. Insya-Allah, semoga usaha ini membuahkan hasil yang bermanfaat,” katanya.
Pada November lalu, media melaporkan, Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan oleh PKPS di Selangor Fruit Valley berjaya mengeluarkan sebanyak 28 tan bawang merah kecil bagi fasa pertama tuaian membabitkan tanah seluas 3.2 hektar.
Mohamad Khairil memberitahu, projek itu yang membabitkan keseluruhan tanah seluas 10 hektar dibahagikan kepada tiga fasa masing-masing 3.2 hektar bagi fasa pertama serta masing-masing 3.6 hektar untuk fasa kedua dan ketiga.