MOF Nafi Laporan Kenaikan Harga Kenderaan pada 2026

MOF Nafi Laporan Kenaikan Harga Kenderaan pada 2026

KUALA LUMPUR, 11 Februari 2025 – Kementerian Kewangan (MOF) menafikan laporan mengenai kenaikan harga kenderaan secara signifikan bermula 2026 susulan pelaksanaan penuh peraturan cukai eksais baharu, P.U.(A) 402/2019. MOF menegaskan bahawa laporan tersebut tidak tepat kerana pihaknya masih dalam proses meneliti kaedah penilaian kenderaan bersama Kementerian Pelaburan, Perindustrian dan Industri serta pihak industri automotif.

“MOF belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai perkara ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Penangguhan Semakan Duti Eksais OMV

Baru-baru ini, sebuah portal berita kewangan tempatan melaporkan bahawa industri automotif telah diberikan tempoh lanjutan bagi cadangan semakan duti eksais untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sehingga 31 Disember 2025. Sumber industri yang dipetik dalam laporan itu juga menyatakan kemungkinan besar tiada lagi tempoh lanjutan selepas 2026, sekali gus menyebabkan harga kenderaan meningkat dengan ketara.

Sementara itu, portal automotif tempatan WapCar sebelum ini melaporkan bahawa Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengesahkan semakan duti eksais bagi nilai pasaran terbuka (OMV) telah ditangguhkan sehingga Januari 2026.

“Penangguhan ini hanya untuk tempoh satu tahun dan sekiranya semakan duti eksais OMV dilaksanakan, ia berpotensi menyebabkan kenaikan harga kenderaan antara 10 hingga 30 peratus,” menurut laporan tersebut.

MOF memberi jaminan bahawa sebarang keputusan yang dibuat kelak akan mengambil kira kepentingan pengguna serta memastikan pengenaan cukai yang adil, seragam dan konsisten dalam industri automotif negara.

mediabatu.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )