Misi memburu 20 terbaik dunia

Misi memburu 20 terbaik dunia

KUALA LUMPUR,. Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah diletakkan sasaran berada dalam kelompok 20 terbaik dunia sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Ketika ini, pemain berusia 27 tahun itu berada di kedudukan ke-29 ranking dunia.

“Keutamaan saya sekarang membantu Soniia untuk meningkatkan kedudukan ranking dunianya. Kalau boleh saya mahu lihat dia berada dalam kelompok 20 terbaik dunia.

“Sebelum ini, kedudukan ranking terbaiknya di kedudukan ke-23 dan sekarang dia berada di tangga ke-29. Saya akan buat yang terbaik untuk bantu dia capai matlamat ini secara berperingkat-peringkat,” kata jurulatih perseorangan wanita negara, Indra Wijaya.

Soniia menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan wanita yang layak beraksi di Tokyo tahun depan.

Menerusi penstrukturan semula kejurulatihan yang dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Mei lalu, Indra dinaikkan pangkat mengetuai bahagian perseorangan wanita, mengambil alih tugas Datuk Tey Seu Bock.

Seu Bock pula menggantikan tempat Indra di bahagian perseorangan lelaki di bawah ketua jurulatihnya, Hendrawan.

Indra yang berasal dari Indonesia mahu membalas kepercayaan diberikan BAM dengan membawa barisan pemain wanita negara ke tahap lebih tinggi.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya mahu bawa perseorangan wanita Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Sebagai jurulatih, sudah pasti mempunyai perancangan tersendiri untuk merealisasikannya,” kata Indra.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )