Minggu Saham Amanah Malaysia PNB beralih ke dunia digital

Minggu Saham Amanah Malaysia PNB beralih ke dunia digital

KUALA LUMPUR,. Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah memperkenalkan Minggu Saham Digital, adaptasi Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) selaras dengan perkembangan transformasi digital.

Dalam satu kenyataan, PNB berkata ia akan menganjurkan Minggu Saham Digital (MSD) buat pertama kali mulai 18 hingga 24 November melalui Facebook dan YouTube.

Acara digital tujuh hari tersebut akan disiarkan secara langsung setiap hari di antara jam 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam.

“PNB telah berjaya meletakkan MSAM sebagai acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan dengan pelbagai aktiviti pendidikan yang mesra keluarga selama dua dekad.

“Minggu Saham Digital adalah bukti bagaimana PNB terus berkembang serta mendukung cara baharu dan menarik untuk mendekati pemegang unit kami dan rakyat Malaysia secara umumnya, dengan matlamat untuk memperkasakan literasi kewangan melalui platform digital yang mudah untuk dilayari,” kata Pengerusi Kumpulan Tan Sri Dr Zeti Aziz.

Setiap tahun selama dua dekad, PNB telah menyediakan platform secara bersemuka untuk masyarakat Malaysia mengenali PNB dan syarikat pelaburannya. Ia juga untuk memberi peluang kepada pemegang unit PNB mendapat gambaran bagaimana pelaburan mereka menyumbang kepada kekuatan ekonomi Malaysia.

Zeti berkata acara digital ini merupakan satu langkah penting ke arah perjalanan transformasi organisasi PNB yang lebih luas.

“Dengan menganjurkan acara tahunan kami secara dalam talian, semua lapisan masyarakat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur boleh menikmati pelbagai kandungan aktiviti menarik dari keselesaan kediaman mereka sendiri atau di mana sahaja mereka berada, kerana semuanya kini mudah diakses hanya di hujung jari,” tambah beliau.

Rakan korporat PNB untuk MSD terdiri daripada tiga peringkat.

Dalam kategori Rakan Premier adalah Maybank Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd dan Rakan Utama adalah Sime Darby Bhd, Sime Darby Property Bhd, S P Setia Bhd, MIDF Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua).

Manakala MNRB Holdings Berhad, CCM Bhd, Duopharma Biotech Bhd, Velesto Energy Bhd, Sapura Energy Bhd, dan Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) adalah di dalam kategori Rakan.

Sepanjang tujuh hari tersebut, rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat dapat menyaksikan pelbagai aktiviti, daripada siri forum dan webinar pendidikan, kepada segmen-segmen yang menghiburkan seperti konsert maya.

Menerusi acara digital yang lain daripada yang lain ini, peserta juga boleh menyertai acara permainan, rancangan memasak, eksperimen sains yang unik, pertandingan pencarian harta karun maya, ‘Eh, Mana Kod?’ serta pertandingan lakaran pelitup muka, #LakaranJuara.

Peserta berpeluang memenangi hadiah-hadiah bernilai lebih RM500,000.

PNB akan mengumumkan tetamu dan personaliti jemputan serta jadual program pada minggu akan datang.

Untuk maklumat lanjut, layari www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook.

PNB adalah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) kini melebihi RM300 bilion. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )