Mimpi ngeri bermula… India rekodkan 200,000 kes COVID-19 sehari

Mimpi ngeri bermula… India rekodkan 200,000 kes COVID-19 sehari

NEW DELHI: India pada Khamis melaporkan lebih 200,000 kes baharu COVID-19, sekali gus melonjakkan angka kes positif di negara itu melepasi 14 juta orang. Reuters melaporkan, situasi penularan itu meletakkan sistem kesihatan negara itu dalam keadaan seperti ‘telur di hujung tanduk’, jika tiada langkah memutuskan rantaian jangkitan dilakukan.

Di ibu negara, New Delhi, puluhan hotel dan dewan perkahwinan ditukar menjadi pusat untuk pesakit COVID-19, dan dihubungkan dengan hospital. Di hospital pula, keadaannya sesak hinggakan penjarakan fizikal dan aturan pergerakan yang sistematik sukar dipatuhi.

“Kenaikan kes ini menakutkan,” ujar pakar kesihatan kerajaan, S.K. Sarin, di New Delhi. Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal, mengumumkan perintah berkurung pada minggu lalu untuk memutuskan rantaian jangkitan di bandar raya tersebut, yang mencatatkan 17,282 kes positif baharu dan 104 lagi kematian dalam tempoh 24 jam.

Pergerakan pekerja stesen kereta api, hospital dan lapangan terbang dibenarkan sebagai sebahagian daripada perkhidmatan perlu, namun pusat beli-belah, gimnasium, spa dan auditorium diarahkan tutup.

Arvind menambah, 5,000 katil di hospital disediakan dan lebih banyak yang akan ditambah kemudian. Dia mendakwa tiada masalah kekurangan katil di ibu negara itu.
Sementara itu, hiruk-pikuk di bandar raya kewangan terbesar India, Mumbai, kini sedikit lengang kerana masih dalam perintah berkurung untuk mengekang penyebaran virus korona.

Langkah itu diambil selepas pihak berkuasa negeri Maharashtra yang paling teruk dicengkam pandemik, mengambil langkah menutup kebanyakan aktiviti industri, perniagaan dan tempat awam selain mengehadkan pergerakan rakyatnya selama 15 hari. Begitupun, perkhidmatan kereta api dan laluan udara masih beroperasi.

Berkenaan 200,739 kes jangkitan baharu yang direkodkan dalam masa 24 jam, Menteri Kesihatan negara itu juga mendedahkan tentang 1,038 kematian baharu, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban menjadi 173,123 orang sejak pandemik bermula pada tahun lalu.

Kes positif COVID-19 keseluruhan di India adalah yang kedua terbanyak selepas Amerika Syarikat (AS) dan angka kematiannya pula di kedudukan keeempat di belakang AS, Brazil dan Mexico.
Dipercayai, statistik sebenar berkaitan COVID-19 di India adalah lebih tinggi daripada yang direkodkan.

-Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )