MHC harap kerajaan negeri bantu pembangunan hoki

MHC harap kerajaan negeri bantu pembangunan hoki

KUALA LUMPUR,. Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berharap kerajaan negeri akan memberikan bantuan kewangan untuk pembangunan sukan hoki di negeri masing-masing, terutamanya pada peringkat akar umbi.

Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan untuk memberikan sekurang-kuranganya RM300,000 setahun, untuk persatuan hoki negeri masing-masing bagi membantu sukan itu, yang diiktiraf sebagai sukan berpasukan terbaik di negara ini, untuk terus berkembang.

Katanya, beliau sedih kerana terdapat kerajaan negeri yang agak kaya, tetapi tidak membantu sukan hoki, dan berterima kasih kepada negeri seperti Terengganu, yang membelanjakan jutaan ringgit setahun untuk membangunkan pemain dan menyertai Liga Hoki Malaysia (MHL).

“Saya akan ke Terengganu untuk bertemu exco negeri (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Wan Sukairi Wan Abdullah), untuk berterima kasih kepada mereka kerana Terengganu telah membelanjakan RM3 juta setahun, jika saya tidak silap.

“Pasukan hoki lelaki kita berada di tangga ke-11 dunia. Kita belanja banyak untuk sukan lain, tetapi untuk sukan yang boleh cemerlang dan dapatkan keputusan terbaik pada peringkat dunia, mereka (kerajaan negeri) tidak mambantu,” katanya pada sidang media bengkel Program Pembangunan Hoki Kebangsaan (NHDP), di sini hari ini.

Subahan berkata, badan kebangsaan itu memerlukan kira-kira RM10 juta setahun untuk pelbagai program, menganjurkan liga dan kejohanan, latihan pasukan kebangsaan dan kejohanan luar negara dan juga latihan.

Beliau berkata, ada kalanya persatuan hoki negeri tidak dapat menjalankan program dan perancangan yang dirancang akibat kekurangan dana, maka tidak adil untuk menyalahkan mereka.

“Tahun lepas kami memutuskan untuk memberikan dana kepada persatuan hoki negeri untuk membantu mereka dan walaupun terjejas akibat pandemik COVID-19, kami sedang melihat jika boleh lakukan yang sama tahun ini,” katanya.

Subahan berkata, pengarah teknikal yang baru akan dilantik tidak lama lagi, akan diberikan tugas untuk memantau ketua jurulatih program NHDP di negeri-negeri, yang merupakan program kerjasama antara MHC, Majlis Sukan Negara, Kementerian Pendidikan dan persatuan hoki negeri.

Beliau tegaskan program pembangunan adalah penting bagi melahirkan pemain berkualiti, dengan mengambil contoh Program Hoki 1Mas yang bermula 10 tahun lepas sebelum dihentikan pada 2018 kerana kekurangan dana, telah melahirkan pemain-pemain seperti Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi, yang menunjukkan bakar mereka dalam pasukan kebangsaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )