Menunggang Tanpa Lesen Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Menunggang Tanpa Lesen Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh: Dr Sharifah Osman @ Liew Shyuan Yei

Pada 2018, Malaysia mencatat jumlah kematian keseluruhan akibat nahas jalan raya sebanyak 6,284. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 59.8 peratus (3.755) kematian melibatkan penunggang motosikal dengan 781 kematian dalam kalangan penunggang berumur antara 16 hingga 20 tahun. Sebanyak 584 kematian melibatkan golongan yang berumur 21 hingga 25 tahun (PDRM, 2018).

Umur

Di Malaysia, kelayakan umur untuk mendapatkan lesen motosikal adalah 16 tahun berbanding lesen kereta iaitu 17 tahun. Kajian yang dijalankan terhadap 921 pelajar dari 32 buah sekolah menengah mendapati sebanyak 62.4 peratus pelajar yang menunggang motosikal tidak mempunyai lesen menunggang.

Sebanyak 89.8 peratus pelajar mengakui bahawa mereka mempunyai pengalaman menunggang tanpa lesen sebelum ini. Apabila ditanya umur mereka ketika pertama kali menunggang motosikal, didapati min keseluruhan adalah 12.75 tahun.

Ini menunjukkan bahawa secara puratanya, pelajar mulai menunggang motosikal seawal umur 12 hingga 13 tahun. Perkara yang lebih menyedihkan adalah 62.6 peratus ibu bapa pelajar tersebut tidak menghalang atau tidak melarang anak mereka daripada menunggang motosikal tanpa lesen.

Persoalannya, adakah pelajar menunggang tanpa lesen tidak menghormati peraturan jalan raya dan tidak berasa takut dikenakan saman? Persoalan seterusnya, adakah pelajar yang menunggang tanpa lesen cenderung terlibat dalam risiko kemalangan jalan raya? Hasil kajian menunjukkan bahawa lebih separuh atau 57.6 peratus pelajar menunggang tanpa lesen terlibat dalam kemalangan jalan raya. Daripada jumlah tersebut, 15.7 peratus mengalami cedera parah, 76.9 peratus mengalami cedera ringan dan 7.4 peratus tidak mengalami kecederaan.

Pelajar sekolah menengah juga mendedahkan sebab-sebab mereka menunggang motosikal. Antara sebab utama adalah kerana motosikal merupakan mod pengangkutan harian atau pengangkutan ke sekolah bagi mereka (72.2 peratus). Sebab-sebab lain termasuklah permintaan daripada ibu bapa (13.2 peratus), hiburan/keseronokan (8.6 peratus), pengaruh kawan (3.5 peratus) dan lain-lain sebab (2.5 peratus).

Program Keselamatan Jalan Raya

Justeru itu, pihak berkuasa dan pihak berkepentingan harus bekerjasama untuk mengatur program keselamatan jalan raya yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya di sekolah. Semua pelajar yang menunggang motosikal harus digalakkan mengikuti program ini termasuk mereka yang layak memohon lesen dan mereka yang belum layak (di bawah umur minima untuk mendapatkan lesen).

Matlamatnya ialah untuk memberi pengetahuan kepada mereka dan mendedahkan mereka kepada risiko dan bahaya yang bakal dihadapi jika memilih menjadi seorang penunggang motosikal. Amat sukar untuk menghalang mereka sepenuhnya daripada menunggang tanpa lesen, tetapi sekurang-kurangnya, mereka diberi kefahaman betapa pentingnya keselamatan jalan raya untuk mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan dan seterusnya menyelamatkan nyawa mereka.

Program-program tersebut harus dilaksanakan di semua sekolah di Malaysia dengan objektif untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kecederaan di kalangan penunggang motosikal muda.

— BERNAMA

Dr Sharifah Osman @ Liew Shyuan Yei merupakan Pegawai Penyelidik Sosial Unit Analisa Tingkahlaku dan Pendidikan (BehavE), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

-DG

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)