Menara TM dijual menerusi penyataan minat, tender

Menara TM dijual menerusi penyataan minat, tender

KUALA LUMPUR,. WTW Real Estate Sdn Bhd (CBRE|WTW) menawarkan bangunan ibu pejabat Telekom Malaysia Bhd (TM), Menara TM dan menara korporatnya untuk dijual melalui penyataan minat (EOI) dan pelaksanaan tender.

Dalam satu kenyataan hari ini, CBRE|WTW sebagai ejen pemasaran eksklusif yang dilantik, mengatakan ia kini sedang mendapatkan EOI yang tidak mengikat untuk Menara TM daripada pelabur berpotensi bagi membeli bangunan itu, yang terletak di koridor KL Sentral-Bangsar South, menjelang tengah hari pada 18 Mac 2022.

CBRE|WTW berkata, ia juga sedang mencari pelabur berpotensi untuk membuat bidaan melalui tender bagi menara korporat TM, Menara TM Semarak dan Wisma TM Taman Desa, menjelang tengah hari pada 31 Mac 2022.

Ia juga mengatakan bahawa Menara ABS Bhd adalah syarikat tujuan khas milik amanah yang diperbadankan semata-mata untuk transaksi jual beli dan pajakan balik yang melibatkan empat hartanah pada 2008.

Tiga daripadanya ialah Menara TM, Menara TM Semarak serta Wisma TM Taman Desa dan hartanah ini dipegang di bawah perjanjian pajakan induk selama 15 tahun dengan TM, katanya.

Hartanah terbabit adakah sebahagian daripada portfolio transaksi jualan dan pajakan balik Islam yang melibatkan penerbitan sukuk ijarah bersandarkan aset Islam (Dana ABS).

Pemegang sukuk ABS menandatangani perjanjian ijarah induk dan melaburkannya ke dalam dana ABS yang tamat tempoh pada 15 Januari 2023.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )