Melaka United perkenal logo baharu

Melaka United perkenal logo baharu

MELAKA,. Melaka United hari ini memperkenalkan logo baharu pasukan, dalam usaha merancakkan persedian bagi pertukaran status ke kelab bola sepak (FC) dan penswastaan pasukan musim depan.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata, pelancaran logo baharu itu diharap akan terus menyuntik kemegahan dan kejayaan kepada kelab itu, serta bola sepak Melaka pada masa akan datang.

Sulaiman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) berkata, ini merupakan tahun terakhir pasukan Melaka United diuruskan oleh pihak MUSA, sebelum diswastakan sebagai sebuah kelab bola sepak.

“Kini selepas 96 tahun, sudah tiba masanya untuk Melaka United bergerak sendiri, menerusi penswastaan kelab sebagai syarat wajib bagi menyertai Liga Malaysia bermula musim 2021, dan bakal dijenamakan sebagai Kelab Bola Sepak Melaka United atau Melaka United Football Club.

“Namun, MUSA akan kekal sebagai badan pentadbir bola sepak negeri dan dengan penswastaan ini, saya berharap Melaka United akan mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam MUSA dan Pelancaran Logo Kelab Bola Sepak Melaka United di sini, malam ini.

Logo baharu itu dilancarkan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam. Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan barisan pemain Melaka United.

Logo Melaka United baharu itu menampilkan rekaan bulat yang mengekalkan identiti pokok Melaka, dan gabungan ciri-ciri logo bola sepak Melaka dari dahulu hingga kini, yang penuh dengan keunikan sejarahnya.

Ikon manusia pada pokok itu melambangkan rakyat Melaka yang bersatu padu dalam memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada sukan negeri ini, dengan warna-warna hijau dan putih dikekalkan sebagai warna rasmi Melaka United.

Logo itu direka oleh penyokong Melaka United Mohd Asri Ab Aziz, berasal dari Sungai Siput, Lubok China, Alor Gajah yang terpilih daripada hampir 100 penyertaan dalam Pertandingan Mencipta Logo Melaka United, yang berlangsung dari 4 hingga 20 Ogos lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )