Melaka tuan rumah Kejohanan Silat Dunia Julai depan

Melaka tuan rumah Kejohanan Silat Dunia Julai depan

KUALA LUMPUR,. Melaka dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Silat Dunia 2022 yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 29 Julai di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat exco badan induk itu petang tadi.

“Pihak urus setia sudah dihantar untuk melihat keadaan venue tersebut dan merasakan MITC adalah bersesuaian untuk penganjuran kejohanan itu.

“Jadi kami telah melakukan tempahan awal berhubung venue kejohanan berkenaan,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa PESAKA di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berkata pada mesyuarat itu, barisan exco turut memutuskan penganjuran Festival Silat Seni Antarabangsa di Kuala Lumpur, bersempena dengan Kejohanan Silat Dunia 2022.

“Festival itu akan diadakan pada 21 hingga 24 Julai dan penganjurannya seiring dengan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mengiktiraf silat kita sebagai Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.

“Untuk memastikan pengiktirafan itu kekal, kita bersetuju untuk mengadakannya di Kuala Lumpur dengan penyertaan pelbagai negara yang mengambil bahagian. Selain mempromosi silat, paling penting kita dapat mempertahankannya sebagai satu daripada elemen seni budaya kita,” katanya.

Beliau turut memaklumkan 32 negara telah menghantar penyertaan untuk menyertai Kejohanan Silat Dunia serta festival silat berkenaan.

“Sambutannya amat baik apabila negara seperti India, Pakistan, Kazakhstan akan turut serta. Malah Uzbekistan turut memohon untuk berada sebulan sebelum kejohanan itu diadakan untuk berlatih bersama-sama,” katanya.

Kejohanan Silat Dunia sepatutnya diadakan pada 2020 dengan Sarawak sebagai lokasi penganjuran, sebelum ditunda berikutan pandemik COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )