Melaka gagal manfaat kelebihan di laman sendiri -Zainal

Melaka gagal manfaat kelebihan di laman sendiri -Zainal

KUALA LUMPUR,. Melaka United gagal memanfaat peluang bermain di laman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Anak buah Zainal Abidin Hassan memperoleh jaringan menerusi Romel Morales pada minit ke-72 sebelum pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi jaringan M. Kogileswaran sebelum wisel penamat sekali gus menyekat hasrat tuan rumah untuk mengutip mata penuh.

Felda United dan Pahang juga terpaksa berkongsi mata selepas terikat 2-2 dalam perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Dua gol Felda United diperoleh menerusi jaringan Nikola Raspopovic pada minit ke-38 dan sepakan penalti Akmar Haiqal Azhar sebelum perlawanan separuh masa pertama berakhir.

Pasukan pelawat pula memperoleh gol menerusi jaringan pemain pertahanan Mohd Muslim Ahmad pada minit ke-14 dan Ivan Carlos pada minit ke-78.

Terdahulu, skuad ‘The Fighters’ terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Jasazrin Jamaluddin dilayangkan kad merah akibat mengutip dua kad kuning oleh pengadil, Hamdan Awang.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, perlawanan yang bermula agak lewat susulan hujan lebat menyaksikan Perak meraih kemenangan berharga selepas menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0.

Gol-gol ‘The Bos Gaurus’ dijaringkan oleh Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-55 dan pemain import dari Brazil Leandro Dos Santos pada minit ke-87.

Sementara itu, dalam aksi Liga Premier, Johor Darul Ta’zim (JDT) II membelasah Selangor II 6-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekali gus melonjak ke kedudukan ketiga dengan mengumpul 14 mata selepas lapan perlawanan.

Kuching FA turut mencatat kemenangan selepas menundukkan Kelantan 2-0 di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching manakala Terengganu FC II terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan UKM FC selepas terikat 2-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)