Media arus perdana perlu raih kepercayaan orang ramai menerusi kewartawanan berkualiti

Media arus perdana perlu raih kepercayaan orang ramai menerusi kewartawanan berkualiti

PETALING JAYA, 18 Jan — Semasa industri media arus perdana sedang bergelut dengan apa yang dikatakan sebagai industri ´hampir senja’ atau industri yang sudah hampir sampai penghujungnya, pengamal media perlu terus menghidangkan tahap kewartawanan yang berkualiti tinggi dalam penampilan berita yang dihasilkannya bagi meraih kembali kepercayaan orang ramai terhadap mereka.

Menurut penyelidik dari Australian National University Dr Ross Tapsell, kepercayaan orang ramai amat penting bagi industri media, dan sekiranya ia gagal mendapatkannya, orang ramai akan beralih kepada sumber maklumat alternatif seperti platform media sosial yang boleh dikongsi dengan meluas ketika ini.

“Jadi bagaimana kita dapat terus menawarkan kewartawanan berkualiti dan menambah baik kualiti, semasa hasil pendapatan bagi media arus perdana kini diambil oleh platform seperti Google dan Facebook?

“Ia memang cabaran yang hebat, namun ia sesuatu yang pastinya perlu diusahakan Malaysia ke arah memastikan wujudnya satu saluran media yang boleh dipercayai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengambil bahagian dalam satu sesi perbincangan bertajuk “Building Malaysia’s Resistance Against Fake News: Diagnosis and Antidot” di sini hari ini.

Dengan memberi contoh bencana kebakaran tidak terkawal di Australia yang melibatkan kemusnahan kawasan seluas lebih berjuta hektar, Tapsell berkata banyak sokongan diterima oleh stesen penyiar rasmi negara itu, ABC News (Australian Broadcasting Corporation) untuk maklumat mengenai bencana berkenaan.

“Ini kerana apabila ramai yang mengharapkan berita yang penting dan boleh dipercayai, mereka akan merujuk kepada stesen penyiaran awam untuk melihat apa yang sedang berlaku dalam komuniti mereka. Ia adalah bahagian yang penting dalam lanskap media, untuk memiliki penyiar awam yang berkualiti,” tambahnya.

Berhubung cabaran untuk menangani kecenderungan penyebaran berita palsu, pakar itu berkata setiap negara di seluruh dunia bergelut dengan isu berkenaan, susulan kemunculan era digital baharu, yang menyaksikan orang ramai memiliki kebebasan yang lebih luas di media sosial.

Tapsell bagaimanapun memuji tindakan kerajaan Malaysia memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018, yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu.

“Saya rasa tindakan memansuhkan akta itu adalah keputusan yang baik oleh kerajaan semasa. Amat jelas bahawa satu undang-undang yang menampilkan satu terma kurang jelas dalam mengenal pasti sesuatu berita untuk dianggap palsu, bermakna ia nanti boleh dipolitikkan.

“Kita sudah lihat di negara-negara lain di rantau ini apabila wujud undang-undang yang kabur berkaitan berita palsu, ia dengan mudah dipolitikkan,” katanya.

Tapsell merupakan salah seorang penceramah dalam acara hari ini, yang merupakan anjuran bersama oleh pertubuhan kewartawanan Hacks/Hackers Kuala Lumpur, dan firma penyelidikan pendapat Merdeka Centre, dengan sokongan Google Malaysia.

Majlis itu bertujuan mengkaji masalah penyebaran maklumat salah dalam talian, atau berita palsu, di Malaysia dan rantau Asia Tenggara, dari pelbagai perspektif.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )