MDEC, TM bekerjasama tingkatkan capaian digital di Malaysia

MDEC, TM bekerjasama tingkatkan capaian digital di Malaysia

KUALA LUMPUR,. Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan sebuah kolaborasi dalam usaha bersama untuk mengukuhkan lagi kesediaan digital Malaysia, ke arah merealisasikan aspirasi negara digital.

Kolaborasi tersebut merangkumi empat bidang utama iaitu, untuk memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) secara digital; merancakkan ekonomi digital luar bandar; memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital; dan memanfaatkan kelebihan kedua-dua pihak dalam melaksanakan program sokongan digital dan interaksi dengan komuniti.

Menerusi kerjasama itu, TM dan MDEC akan bekerjasama dalam memadan, memperkenal dan menghubungkan TM dengan ekosistem MSME serta rakan-rakan utama MDEC seperti program Perkhidmatan eDagang Setempat.

“Kedua-dua organisasi nasional ini akan mencari persamaan dan melaksanakan inisiatif terbaik ke arah membina asas yang kukuh bagi eonomi digital negara dan melonjakkan Malaysia menjadi sebuah negara digital.

“Ini juga selari dengan aspirasi dan peranan unik TM sebagai pemacu Digital Malaysia,” kata Pengerusi TM Tan Sri Mohd Bakke Salleh dalam kenyataan hari ini.

Usaha sama itu juga akan menyaksikan pelanggan MSME TM menawarkan produk dan perkhidmatan dalam bidang teknologi yang telah dikenal pasti oleh TM ke arah memperkukuhkan komuniti SME.

Dalam memperkasakan ekonomi digital luar bandar, kedua-dua organisasi akan meneroka inisiatif bagi memperluaskan lagi infrastruktur sambungan yang kemudiannya mampu membantu melatih masyarakat tentang cara untuk meningkatkan penggunaan teknologi terkini bagi memperbaiki operasi perniagaan, menurut TM dan MDEC.

Kedua-dua pihak akan turut mengendalikan latihan dan bengkel untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi digital kumpulan masyarakat yang dikenal pasti serta anggota TM, selain pada masa sama membina graduan yang kompeten bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran mereka.

Ini termasuk mengetengahkan kesedaran mengenai kemahiran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) kepada guru, pelajar dan golongan belia bagi mempersiapkan mereka untuk era digital.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )