Mavcom lantik Raja Azmi sebagai Ketua Pegawai Operasi baharu
KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah melantik Raja Azmi Raja Nazuddin sebagai Ketua Pegawai Operasi yang baharu berkuat kuasa 15 September.
Raja Azmi pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dari 4 Jan, 2019 hingga 6 Jan, 2020.
Beliau menggantikan Azmir Zain, yang telah meletakkan jawatannya berkuat kuasa 14 Ogos lepas, kata Mavcom dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut pengawal selia industri itu, Azmir telah menyatakan hasrat beliau untuk meninggalkan Suruhanjaya pada pertengahan tahun ini bagi meneruskan minatnya dalam bidang lain. Beliau telah bersama Suruhanjaya itu sejak 1 April, 2016.
“Suruhanjaya mengalu-alukan pelantikan Raja Azmi yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam industri penerbangan serta sektor korporat.
“Mavcom yakin Raja Azmi akan dapat memimpin Suruhanjaya dengan baik untuk mempromosikan sektor penerbangan awam yang akan memberi fokus kepada pengguna serta berdaya tahan,” kata Pengerusi Eksekutif Datuk Seri Saripuddin Kasim.
Sebelum menerajui MAHB, Raja Azmi merupakan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan syarikat berkenaan.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti of Bath, United Kingdom. Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia dan Institut Akauntan Malaysia.
Sementara itu, Saripuddin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Azmir di atas kepimpinan dan sumbangan beliau terhadap industri penerbangan negara, perlindungan pengguna dan Mavcom.
“Azmir telah menjalankan tugasnya dengan penuh integriti, tegas dan profesional. Beliau telah berpegang teguh pada komitmen dan piawaian yang tinggi dalam memastikan Suruhanjaya beroperasi mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771],” katanya.
– Bernama