Masyarakat perlu bertenang, tunggu bekalan vaksin tambahan sampai

Masyarakat perlu bertenang, tunggu bekalan vaksin tambahan sampai

PELABUHAN KLANG,. Masyarakat diminta bertenang sementara menunggu bekalan tambahan vaksin tiba di Malaysia tidak lama lagi, kerana semua sasaran pemberian vaksin adalah berdasarkan pada perbekalan yang ada, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

“Bertenang. Bekalan akan sampai nanti. Saya tidak simpan mana-mana vaksin. Vaksin itu sampai saya hantar…kita dapat pelepasan lot (vaksin) dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kita akan terus hantar pada negeri-negeri dan pusat pemberian vaksin (PPV) kita.

Kita punya kadar penggunaan vaksin kini 90 peratus. 100 vaksin sampai, 90 akan diguna dalam tempoh beberapa hari. 10 tu ‘buffer’ sikit untuk janji temu akan datang,” katanya dalam sidang media program pertama pemberian vaksin sektor pengangkutan dikendalikan Lembaga Pelabuhan Klang bermula hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Khairy berkata, penggunaan vaksin yang mencecah 90 peratus itu menyebabkan terdapat negeri yang sudah tidak mempunyai bekalan vaksin yang banyak.

Pada sidang media yang sama Wee berkata, Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, akan memberi penerangan berhubung perkembangan isu penjualan atau pajakan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS), dekat sini.

Beliau menjelaskan, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Tengku Zafrul sebelum ini susulan banyak laporan berita berhubung perkara tersebut disiarkan.

“Saya nak jawab secara jelas, sila baca kenyataan MOT sebelum ini dan kedua, apa juga status terkini saya sudah berbincang dengan Menteri Kewangan, kerana banyak laporan dipetik sana sini dan beliau sendiri akan beri memberi penerangan,” katanya.

Beliau mengulas soalan pemberita berhubung dakwaan isu penjualan atau pajakan (LTSAAS).

Media sebelum ini melaporkan Kenyataan Kementerian Pengangkutan yang menyatakan sebarang cadangan untuk membangunkan semula LTSAAS masih di peringkat awal.

Kementerian itu memaklumkan, sebarang pertimbangan dan keputusan akhir berhubung cadangan pembangunan semula lapangan terbang, yang dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang itu akan diputuskan oleh Kabinet.

Ia susulan laporan mengenai entiti swasta mengusulkan kepada kerajaan untuk mengambil alih dan mengoperasikan lapangan terbang itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )