Masjid, surau laksana pelbagai inisiatif santuni asnaf

Masjid, surau laksana pelbagai inisiatif santuni asnaf

KUALA LUMPUR,. Sukar mendapat bantuan dari institusi terlibat didakwa menjadi punca sehingga ada golongan asnaf terutama fakir, miskin dan mualaf terpaksa memohon bantuan alternatif daripada pihak lain termasuk mereka yang tidak sepatutnya.

Lazimnya kesukaran yang dialami disebabkan faktor proses permohonan zakat yang memakan masa yang lama, tiada kemudahan serta perkhidmatan zakat yang disediakan berdekatan tempat tinggal mereka di samping kekangan tiada kemahiran literasi bagi mengisi borang permohonan.

Hakikatnya, pihak yang dilantik bagi menguruskan zakat seperti baitulmal dan lembaga zakat negeri yang dibantu oleh masjid dan surau di kawasan terlibat, bertanggungjawab menyampaikan pemberian bantuan kepada golongan yang layak sama ada dalam bentuk barangan keperluan harian mahupun wang tunai.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail ketika menafikan dakwaan berkenaan menjelaskan, JAWI sentiasa menyantuni golongan yang layak menerima bantuan kerana ia adalah tanggungjawab hakiki dan amanah yang perlu dilaksanakan.

“Golongan asnaf yang layak adalah di bawah tanggungjawab Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan banyak peruntukan disediakan untuk membantu mereka. JAWI sebagai pelaksana dasar akan dibantu oleh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan untuk ‘turun padang’ mencari, menyantuni dan membantu setiap asnaf.

“Di pihak MAIWP, bantuan yang ada termasuklah pemberian wang zakat. JAWI pula membantu dari segi penyediaan barangan keperluan harian melalui program JAWI Food Bank atau dikenali sebagai Gerobok Rezeki yang ditempatkan di masjid dan surau,” katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

PROGRAM KERJASAMA BAITULMAL MAIWP DAN JAWI

Sehingga kini terdapat 52 buah masjid dan 14 surau yang menyediakan kemudahan Gerobok Rezeki melalui proses permohonan yang mudah tanpa menyukarkan pemohon.

Sejak pandemik COVID-19 melanda negara pada tahun 2020 sehingga tahun ini, lebih 300,000 asnaf dan golongan memerlukan menerima bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM6.12 juta melalui pelbagai program kerjasama Baitulmal MAIWP dan JAWI.

Di samping itu, program Dapur It’am dan Iftar Rahmah Ramadan diwujudkan bagi menyediakan pek makanan kepada asnaf dan mereka yang memerlukan terutama ketika pandemik COVID-19 bagi memastikan tiada ahli kariah berada dalam keadaan kelaparan.

Menurut Mohd Ajib, bantuan wang tunai turut disediakan dengan yang terkini, Tabung Rahmah Madani Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada bulan lepas melalui peruntukan dana MAIWP bagi menyediakan sumbangan tunai segera berjumlah RM200 kepada asnaf yang memerlukan bantuan kecemasan.

“Melalui pelbagai bantuan yang disediakan, tiada ruang untuk dakwaan sukar mendapat bantuan dari pihak berwajib memandangkan semua pihak khususnya institusi masjid dan surau bertindak proaktif melaksanakan fungsi yang signifikan dengan keperluan komuniti setempat termasuk menjadi pusat sehenti yang memberi perlindungan dan bantuan kebajikan kepada ahli kariah.

“Program bantuan masjid kepada asnaf dan golongan memerlukan selaras dengan teras kesejahteraan insan dalam Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) yang digagaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah agenda memperkasakan sistem dan program bantuan kebajikan masyarakat,” katanya.

ELAK KETIRISAN, RASUAH

Menyentuh perihal pengurusan dana dan bantuan oleh pihak masjid dan surau bagi mengelak isu ketirisan dan rasuah, Mohd Ajib berkata, dana sumbangan diuruskan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh garis panduan pengurusan kewangan masjid dan surau.

Ini berikutan kedua-dua institusi berkenaan mempunyai sumber kewangan sendiri yang diperoleh daripada sumbangan dan derma orang ramai terutama kutipan solat Jumaat.

“Menerusi garis panduan ini, sebarang perbelanjaan kewang
an mestilah melalui satu proses pengesahan yang ketat. Contohnya, jika ada sebarang perbelanjaan kurang daripada RM50,000, maka ianya boleh diluluskan di peringkat pengurusan masjid namun sekiranya melebihi RM50,000, ia perlu melalui pengesahan setiausaha MAIWP.

“Bukan mudah untuk melaksanakan perbelanjaan masjid dan surau bagi mengelakkan kes penyelewengan dalam kalangan pegawai,” katanya menambah, JAWI dengan kerjasama MAIWP sentiasa melaksanakan program audit dan pemantauan berkala di masjid dan surau terlibat selain menganjurkan seminar dan latihan membabitkan tata kelola pengurusan kewangan yang baik.

Berkongsi hakikat bahawa pegawai yang diamanahkan perlu dilatih dengan ilmu kemahiran dan integriti yang tinggi, beliau berkata, masjid dan surau perlu dilengkapi sistem pengurusan kewangan melalui mekanisme pemantauan dan pengauditan yang kemas oleh pihak berautoriti.

“Kita tidak menolak kemungkinan adanya risiko berlaku ketirisan disebabkan urusan masjid dan surau membabitkan wang tunai yang banyak dan kita tidak akan berkompromi terhadap individu yang didapati melakukan pecah amanah.
“Kerjasama penuh akan diberikan JAWI kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya didapati ada pegawai kita melakukan kesalahan terbabit.

“Buat julung kalinya JAWI dengan kerjasama SPRM menganjurkan program Pembanterasan Rasuah Komuniti Masjid pada 22 Oktober lepas yang dihadiri seramai 160 ahli jawatan kuasa masjid dari enam zon Wilayah Persekutuan,” katanya menambah, bacaan ikrar bebas rasuah turut diadakan sebagai menyatakan komitmen seluruh institusi masjid dalam memitigasikan risiko dan mencegah rasuah serta menambah baik aspek tadbir urus pengurusan masjid.


PINTU SENTIASA TERBUKA

Tinjauan Bernama di beberapa buah masjid dan surau sekitar Wilayah Persekutuan mendapati bukan sahaja ‘pintunya sentiasa terbuka’ untuk golongan asnaf dan mereka yang memerlukan, bahkan bantuan disediakan dalam bentuk yang lebih kreatif bagi memudahkan bakal penerima.

Pengerusi Masjid Al-Akram Kampung Datuk Keramat, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Hadiatullah Maknun Ridzuan berkata, masjid itu menyediakan sebuah mesin ATM beras, mengambil kira teknologi yang semakin berkembang dan perlu dimanfaatkan bagi kemudahan golongan asnaf.

Menurut beliau, mesin berkenaan yang dibeli di Indonesia pada tahun 2019 dengan tongnya mampu menampung kira-kira 240 kilogram beras, perlu digunakan bersama kad ATM khas bagi membolehkan penerima mendapat tiga kilogram beras pada bila-bila masa, untuk tempoh sekali dalam seminggu.

“Setakat ini kita ada seramai 100 orang asnaf berdaftar yang menerima manfaat mesin ATM beras ini. Kita juga dalam usaha untuk menaik taraf jumlah beras yang boleh dikeluarkan dari tiga kilogram kepada enam kilogram, bergantung kepada keperluan sesebuah keluarga asnaf tersebut.

“Kami turut melaksanakan program Gerobok Rezeki dengan pelbagai barangan harian disediakan seperti gula, tepung, minyak masak dan sardin dalam tin. Seorang penerima hanya dibenarkan mengambil empat barangan pada satu-satu masa bagi memastikan stok barangan mencukupi untuk asnaf yang lain,” katanya.

Seorang penerima bantuan, Zaiton Akmal, 68, melahirkan rasa syukur kerana menerima pelbagai manfaat dari masjid berkenaan memandangkan dia tidak mampu bekerja disebabkan sakit tulang belakang yang serius serta penyakit asma.

“Dulu saya pernah bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak tapi terpaksa berhenti kerana penyakit yang saya hidapi dan sekarang hanya duduk di rumah. Saya memang tidak pernah beli barangan keperluan sebab tiada gaji dan duit, mujurlah program Gerobok Rezeki ini banyak membantu saya.

“Pihak masjid juga banyak menolong. Ada pegawai yang sanggup hantar barangan keperluan ini termasuk beras sampai ke pintu rumah saya. Selain itu, baitulmal memberi bantuan RM500 sebulan yang saya gunakan untuk membayar sewa rumah. Bantuan sebegini menjadi sinar harapan dan membuatkan saya tidak putus harap dengan kebaikan komuniti di sekeliling kita,” kata Zaiton yang berasal dari Melaka.

Sementara itu bagi Pengerusi Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan Mohd Shah Hasim, program Gerobok Rezeki yang dilaksanakan turut menawarkan barangan seperti lampin orang dewasa serta produk sejuk beku seperti ayam, daging dan kuih karipap berikutan masjid itu mempunyai peti sejuk beku yang disumbangkan oleh beberapa pihak.

“Barangan bantuan lebih kurang sama dengan masjid lain, bezanya kita ada produk sejuk beku serta bantuan lampin orang dewasa memandangkan ia satu keperluan asas yang amat diperlukan asnaf disebabkan harganya agak mahal di pasaran.

“Semua barangan ini kita masukkan dalam satu beg plastik besar bagi memudahkan penerima. Bantuan sebegini pastinya bermakna buat hampir 8,000 penduduk sekitar kawasan ini yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah, B40 dan fakir miskin,” katanya.
Bagi penerima bantuan Gerobok Rezeki di masjid itu, Ridzuan Mohidin, 70, ia banyak membantu beliau dan isteri memandangkan kedua-dua mereka tidak lagi bekerja disebabkan kekangan penyakit.

“Dulu saya bekerja sebagai kerani di pejabat peguam negara namun terpaksa berhenti pada 2017 disebabkan sakit paru-paru rosak dan asma teruk. Memang banyak guna duit sebab terpaksa berulang alik ke hospital untuk rawatan dan bergantung kewangan daripada tiga orang anak yang sudah bekerja,” katanya menambah, pihak masjid banyak membantu meringankan bebannya dan berharap lebih ramai asnaf sepertinya tampil untuk menerima bantuan yang disediakan.

JANGAN AMBIL KESEMPATAN

Berkongsi pandangan, Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan (MWP) Rozimi Zamri berkata, disebalik pelbagai bantuan disediakan untuk dimanfaatkan golongan asnaf, masih terdapat pihak yang mengambil kesempatan menyalahgunakannya.

Menurut beliau, terdapat beberapa kes asnaf yang mengambil barangan bantuan di masjid kariah lain namun hadir ke masjid Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan bantuan sehingga menyukarkan asnaf lain yang sepatutnya menerima bantuan tersebut.

Selain itu juga, terdapat kes asnaf menjual barangan bantuan bagi mendapatkan wang tunai.

“Jika berlaku kes sebegini, biasanya kami akan menjalankan siasatan dengan menjejaki asnaf tersebut. Mungkin mereka memang betul-betul susah sehingga memaksa mereka berbuat sedemikian. Kita juga perlu tekankan kepada asnaf supaya jangan bersifat tamak untuk mendapatkan bantuan kerana kita risau akan berlaku pembaziran sekiranya terlalu banyak barangan yang mereka terima pada satu-satu masa.

“Bagi asnaf, jangan khuatir kerana pihak masjid sentiasa bersedia untuk membantu apa sahaja barangan yang diperlukan. Cuma kita harap berlaku adil kepada rakan-rakan asnaf yang lain kerana mereka juga sama-sama memerlukan barangan bantuan yang disediakan,” katanya.

Menyifatkan MWP sentiasa komited membantu ahli kariah masjid dan surau sekitar khususnya yang mempunyai peratusan asnaf dan fakir miskin yang tinggi, beliau berkata, majoriti penduduk di sekitar masjid itu dari kalangan mereka yang berkemampuan.

“Justeru, bantuan yang ada mungkin boleh disalurkan kepada masjid dan surau lain yang lebih memerlukan. Setakat ini, hampir 1,200 penerima menikmati manfaat daripada Gerobok Rezeki ataupun dikenali Baitul Rizki MWP bermula awal Januari hingga Oktober 2023,” katanya.

Rozimi berkata, pihaknya membuat satu garis panduan berhubung pemilihan dan pemantauan penerima manfaat Baitul Rizki MWP, antaranya, mengenal pasti status kemiskinan dari maklumat keluarga dan ekonomi penama dari borang permohonan serta mendapatkan maklumat dan sokongan dari institusi berkaitan seperti masjid, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk yang berdekatan dengan tempat tinggal pemohon.

Selain daripada sumbangan tabung masjid, bantuan lain diterima daripada individu, syarikat, NGO dan persatuan kebajikan dengan Persatuan Sahabat MWP antara penyumbang tegar dan banyak membantu menyediakan barangan untuk gerobok rezeki.

Bagi seorang penerima bantuan Baitul Rizki MWP, Mohd Hafiz bin Mohammad Tahir @ Mohammad Kamil, 46, yang juga orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai empat orang cahaya mata, inisiatif itu dapat meringankan beban kos membeli barangan keperluan asas.

“Setakat ini cukuplah apa yang saya terima, tidak lebih dan tidak kurang. Lagipun saya hanya ambil bantuan ini sebulan sekali kerana merasakan ada orang lain yang lebih layak berbanding saya. Harapan saya supaya program ini dapat diperluaskan dan ditambah barangan lain contohnya lampin bayi dan lain-lain yang dirasakan bersesuaian untuk golongan asnaf,” katanya.

— BERNAMA / Muhammad Basir Roslan

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )