Masih ada tugas belum selesai buat Mun Yee bersama MS

Masih ada tugas belum selesai buat Mun Yee bersama MS

KUALA LUMPUR,. Bekas penerjun negara Leong Mun Yee masih mempunyai tugas yang belum selesai dengan Persatuan Renang Malaysia (MS) walaupun telah secara rasmi bersara sebagai atlet terjun kebangsaan pada Jumaat.

Mun Yee berkata beliau akan bersama MS bagi membantu penerjun muda di Bukit Jalil, di sini, bermula minggu hadapan.
“Saya akan tetap bersama pasukan kerana MS telah meminta membantu mereka berikutan kekurangan jurulatih sehingga jurulatih baharu tiba tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Sementara itu, bekas atlet kelahiran Ipoh itu mengakui beliau tidak menyesal bersara daripada sukan terjun selepas hampir sepanjang hayatnya menceburi sukan itu.

“Kebanyakannya sebab saya ada set sasaran saya sendiri, saya juga tidak terfikir kekal (dalam sukan terjun) sampai 27 tahun. Saya rasa memang berbaloi (pengorbanan) and saya tidak menyesal apa-apa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan akan meneruskan fokus menamatkan pengajian Sarjana Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mengenai hasrat menubuhkan akademi terjunnya sendiri, Mun Yee berkata ia masih dalam perancangan dan berharap ia akan berjalan lancar.

Penampilan terakhir Mun Yee ialah pada Sukan Olimpik Tokyo tahun lepas, bergandingan dengan ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama wanita.

Bagaimanapun, ia bukan terjunan terbaik daripada gandingan negara itu apabila sekadar menduduki tempat kelapan.

Mun Yee, yang menceburi sukan terjun sejak berusia 10 tahun merupakan antara penerjun negara paling berjaya dengan meraih banyak pingat termasuk perak pada Sukan Komanwel 2010 di India, gangsa di Sukan Asia 2014 di Korea Selatan dan dua emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Mun Yee juga merupakan penerjun Malaysia pertama bersama Pandelela memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama wanita pada Kejohanan Dunia FINA 2019 di Rom, Itali, selain mencipta sejarah apabila Malaysian Book of Records (MBOR) menamakan beliau sebagai atlet wanita pertama layak ke empat Sukan Olimpik pada 2012.

Hanya jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei dan pelayar negara Kelvin Lim bertanding dalam empat sukan Olimpik, setakat ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )