Masalah lif rosak terus belenggu warga kota

Masalah lif rosak terus belenggu warga kota

Oleh Nurhafizah Tan

(Ini siri tiga bahagian yang mengupas masalah lif rosak dan puncanya. Bahagian pertama ini merungkai masalah yang dihadapi ribuan warga kota saban hari akibat lif rosak di kediaman berstrata).

KUALA LUMPUR,. Masalah lif rosak di kediaman strata berpunca daripada pelbagai faktor antaranya vandalisme, sikap penduduk yang culas membayar yuran penyelenggaraan, sikap kontraktor yang mengenakan caj penyelenggaraan terlampau tinggi selain kegagalan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) menguruskan kewangan.

Situasi itu bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian penghuninya, malah turut memberi kesan kepada kesihatan mental dan emosi penduduk.

Menurut Rozana Abdullah, 36, dari pangsapuri Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini, antara pengalaman pahit yang dialaminya sepanjang lebih 10 tahun menyewa di pangsapuri itu apabila terpaksa menaiki tangga setinggi 13 tingkat ketika pulang dari kerja sekiranya lif rosak.

“Bukan sekali dua saya alami situasi ini, boleh dikatakan hampir setiap minggu lif rosak, dan ambil masa lama pula untuk tunggu dibaiki, memang tertekan kerana sudah penat bekerja dan perlu panjat tangga tinggi lagi,” kata pembantu akaun itu kepada Bernama.

Tambahnya sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab seperti membawa motosikal ke dalam lif dilihat antara punca jentera itu mengalami kerosakan.

Rozana yang masih kekal menyewa di perumahan sama kerana kekangan kewangan, antara ribuan warga kota yang tinggal di pangsapuri kos rendah dan sederhana yang terjejas dan ‘menderita’ akibat masalah lif sering rosak dan tidak berfungsi dengan baik.

Berkongsi masalah sama, Nur Amirah Shaaban, 29, yang menyewa di Pangsapuri Vista Angkasa, Kerinchi turut melahirkan rasa kecewa dengan lif di kediaman itu yang bukan sahaja sering rosak tetapi juga tidak selamat untuk digunakan.

Lampu di dalam lif, katanya, sering rosak menyebabkan penduduk menggunakan lif dalam keadaan gelap dan ketakutan ditambah pula pergerakan lif yang sering bergoyang dan terhentak.

“Walaupun hanya menyewa, saya dan rakan serumah tetap membayar yuran penyelenggaraan yang sepatutnya ditanggung tuan rumah dan memang tiada tunggakan bayaran memandangkan kad akses akan disekat jika tidak menjelaskan yuran,” tambahnya.

Tidak hanya membelenggu residensi kos rendah, penduduk Pangsapuri Servis Pacific Place, Shahful Shaffiq Mohd Saleh, 35, turut mengadu perkhidmatan lif yang sering tergendala dan tidak berfungsi dengan baik menjejaskan kehidupan hariannya termasuk perlu menunggu lif lebih 10 minit setiap pagi untuk ke pejabat.

“Ada tiga lif disediakan di sini tapi yang peliknya hanya satu yang berfungsi ketika waktu puncak, kalau buka dua lif pun hanya untuk pekerja pembersih bawa sampah. Yang hairannya, pada waktu bukan puncak, ketiga-tiga lif akan dibuka dan berfungsi, jadi saya terfikir, adakah pihak pengurusan sengaja berbuat demikian bagi mengelak lif rosak kerana dinaiki ramai?,” katanya.

Situasi sama turut dialami Shahrul Amri Hassan, 26, yang menghuni Residensi Sky Awani 1, selama lebih dua tahun walaupun perumahan lebih 30 tingkat itu siap dibina kurang tiga tahun.

“Kami penduduk difahamkan lif rosak akibat disambar petir…saya pernah lambat ke tempat kerja kerana perlu menuruni tangga setinggi 29 tingkat,” katanya.

Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Sub Zon 5 Wangsa Maju, Kamil Mohd Kassim, 54, yang meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir kontraktor menyelenggara lif yang mengambil kesempatan dengan mengenakan harga terlalu mahal.

“Biasanya, bukan semua penduduk mengetahui mengenai harga alat ganti lif, kerana itu ada kontraktor bertindak meletakkan harga dengan sesuka hati. Biasanya perkara ini, komuniti akan adukan segera kepada JMB dan tindakan akan diambil,” katanya.

Lain pula cerita Pengerusi JMB Pangsapuri Spring Ville, Ukay Perdana, Syed Haidir Sayidhassim, 39, kesal dengan tindakan pengurusan terdahulu yang gagal memperbaharui Sijil Perakuan Kelayakan (CF) lif di empat blok pangsapuri 11 tingkat itu daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), sejak beberapa tahun lepas.

“Ini menyebabkan semua lif di blok berkenaan hampir disita JKKP. Ia berlaku kerana rasa tidak bertanggungjawab pengurusan terdahulu yang dilantik menguruskan kewangan bagi penyelenggaraan lif.

“Ia juga ditambah dengan sikap cuai atau sengaja melengahkan-lengahkan untuk memperbaharui CF kerana kurang kesedaran mengenai keselamatan penduduk,” katanya.

Enggan lagi membahayakan nyawa penduduk, Syed Haidir yang mula memegang jawatan berkenaan sejak tahun lepas mula bertindak pantas dan tegas dalam menangani masalah berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )