Mangsa Sindiket Penipuan Kerja di Myanmar Dedah Penderitaan

Mangsa Sindiket Penipuan Kerja di Myanmar Dedah Penderitaan

TAK, 17 Feb – “Saya dikenakan renjatan elektrik lebih daripada 10 kali dan hampir setiap minggu diseksa sepanjang tempoh dikurung,” demikian luahan seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar sebelum berjaya diselamatkan.

Lelaki berusia 45 tahun dari Johor, yang mahu dikenali sebagai Teo, menceritakan pengalaman ngerinya selepas diperdaya oleh tawaran pekerjaan sebagai penterjemah di Thailand pada Ogos 2023.

“Saya tertarik dengan tawaran di Facebook yang menjanjikan gaji RM7,000 untuk jawatan penterjemah di Bangkok. Namun, sebaik tiba di lapangan terbang Bangkok, saya mula berasa curiga apabila perlu menukar kenderaan tiga kali dalam perjalanan yang memakan masa enam jam sebelum akhirnya dipaksa menyeberangi sungai ke Myanmar. Di sana, saya dipaksa menjalani latihan sebagai scammer,” katanya ketika ditemui di Kem Tentera Fort Vachiraprakan, Wilayah Tak, utara Thailand, pada Ahad.

Menurut Teo, dia terpaksa bekerja 14 jam sehari menyusun sekitar 10,000 nombor telefon untuk digunakan oleh sindiket. Sebagai balasan, dia hanya menerima elaun sara hidup sebanyak 5,000 baht bagi tempoh tiga bulan pertama.

“Mereka yang gagal mencapai sasaran akan dihukum dengan renjatan elektrik, dipukul, atau dikurung dalam bilik gelap tanpa seurat benang,” katanya.

Dipaksa Bekerja dalam Keadaan Kejam
Seorang lagi mangsa, Mohd Shahdan, 29, dari Kuala Lumpur, turut berkongsi pengalaman pahitnya. Setiap mangsa diberikan tugas berbeza, dan tugasnya adalah mengumpulkan nombor telefon daripada media sosial sebelum menghubungi sekurang-kurangnya 70 individu setiap hari.

“Saya bekerja dari jam 10 pagi hingga 3 pagi keesokan harinya tanpa rehat mencukupi. Jika gagal memenuhi sasaran, saya dikenakan renjatan elektrik dan dipukul dengan rotan,” katanya sambil menunjukkan kesan lebam dan luka di tangannya.

Selain itu, dia mendedahkan bahawa semua pekerja hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit selama 30 minit sebulan, dan setiap perbualan dipantau ketat oleh penyelia sindiket.

Mangsa lain, Ong, 19, dari Pulau Pinang, berkata dia menjadi mangsa sindiket selepas diperdaya oleh seorang lelaki yang mengaku berasal dari Taiwan. Individu itu menawarkan pekerjaan dengan gaji tinggi di Thailand, namun dia akhirnya dibawa ke Myanmar tanpa sebarang dokumen perjalanan.

“Saya tiba di Myanmar pada Oktober 2023 dan dipaksa bekerja di bawah kawalan ketat. Kami hanya diberi tempat tidur dan makanan, tetapi jika gagal mencapai sasaran, kami akan dihukum dengan rotan, dipaksa melakukan tekan tubi, atau dikurung dalam bilik gelap,” katanya.

Usaha Membawa Pulang Mangsa
Teo, Shahdan, dan Ong merupakan antara 15 rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myanmar. Mereka adalah sebahagian daripada 261 individu yang dibebaskan oleh pihak berkuasa Myanmar sebelum dipindahkan ke Thailand untuk urusan penghantaran pulang.

Pada Ahad, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand telah mengadakan lawatan konsular ke atas kumpulan mangsa yang berusia antara 19 hingga 44 tahun, termasuk tiga wanita.

Ketika ini, pihak kedutaan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mempercepatkan proses dokumentasi perjalanan supaya semua mangsa dapat kembali ke Malaysia dalam masa terdekat.

mediabatu.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )