Mangsa kebakaran paip gas ganti dokumen pengenalan secara percuma

Mangsa kebakaran paip gas ganti dokumen pengenalan secara percuma

SUBANG JAYA: Mangsa insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini, boleh menikmati pelbagai perkhidmatan termasuk penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata perkhidmatan itu ditawarkan menerusi Bas MEKAR dan van bergerak yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, mangsa berpeluang menggantikan kad pengenalan, sijil lahir dan dokumen penting lain yang akan diberikan terus di PPS sejurus keseluruhan proses berkenaan selesai.

Beliau berkata, perkhidmatan ditawar secara berterusan, membabitkan kira-kira 30 pegawai dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bermula hari ini.

“Perkhidmatan ini percuma kerana ia diperlukan untuk mangsa mendapatkan pelbagai bantuan lain.

“Setakat hari ini, kita sudah terima dan menyelesaikan 19 gantian kad pengenalan dan 43 cabutan sijil kelahiran.

“Kita harap Bas MEKAR dan van bergerak ini dapat memudahkan mangsa menggantikan dokumen pengenalan masing-masing tanpa perlu mengunjungi mana-mana pejabat JPN.

“Kementerian amat bersimpati dengan nasib menimpa mangsa dan berharap mereka bersabar. Kerajaan dan agensi berkaitan sedang bertungkus-lumus membantu dalam apa-apa keadaan sekalipun,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menyediakan kawalan keselamatan kediaman yang terjejas.

Katanya, seramai 116 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke lokasi bagi tujuan berkenaan.

“Jumlah ini akan diteliti dari semasa ke semasa. Saya beri jaminan polis sentiasa mengawal keselamatan, terutama di rumah (mangsa) yang ditinggalkan.

“Setiap perkembangan akan dimaklumkan,” katanya.

Kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor kelmarin, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )