Manfaatkan kapasiti industri tekstil bagi pengeluaran massa PPE – Ahli Ekonomi

Manfaatkan kapasiti industri tekstil bagi pengeluaran massa PPE – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR,. Pengeluaran peralatan perlindungan diri (PPE) secara besar-besaran kini sememangnya amat wajar memandangkan wujudnya lonjakan permintaan terhadap keperluan itu untuk petugas kesihatan dalam memerangi wabak COVID-19 di Malaysia, kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Menurut laporan, Malaysia memerlukan 59 juta unit PPE sebulan dan bekalan PPE setakat Isnin hanya mencukupi untuk menampung keperluan selama dua minggu sahaja di semua hospital negara ini.
Beliau berkata negara memiliki kelebihan dari segi kos yang boleh dimanfaatkan pengeluar tekstil dengan meningkatkan skala pengeluaran malah sudah sampai masanya kerajaan memberi perhatian kepada industri ini susulan keupayaannya mengeluarkan PPE.

“Berdasarkan akaun-akaun peribadi, kita dapat lihat pereka fesyen negara kita secara sukarela menyediakan PPE walaupun piawaian keselamatan juga harus diperiksa secara teliti.
“Justeru, kerajaan perlu meneliti langkah tarif dan bukan tarif, yang mungkin perlu disemak semula semasa krisis kesihatan awam yang sedang kita hadapi,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata penelitian semula kepada struktur langkah tarif dan bukan tarif sedia ada akan membantu memudahkan perdagangan antarabangsa bagi bekalan perubatan, termasuk PPE.

Laporan oleh Global Alert Team dari University of St Gallen, Switzerland, mengatakan setakat 21 Mac, sebanyak 46 kekangan eksport ke atas bekalan perubatan telah diperkenalkan oleh 54 kerajaan sejak awal 2020.

Daripada jumlah itu, 33 kekangan eksport diumumkan pada Mac sahaja, dan ini menunjukkan tebaran had perdagangan baharu yang pesat di seluruh dunia.

“Oleh itu, sudah sampai masanya untuk kerajaan kita mengadakan dialog yang lebih berkesan dengan negara-negara berkenaan bagi memastikan pemerolehan bekalan perubatan berkaitan dengan wabak COVID-19 dapat dipercepatkan dengan cara yang paling efisien dan tepat waktu,” katanya.

Beliau juga memetik kertas Institut Penyelidikan Khazanah yang bertajuk Trade During A Pandemic (Perdagangan Semasa Pandemik) bahawa Malaysia mengimport bekalan perubatan bernilai US$2.4 bilion atau RM9.5 bilion pada 2018, termasuk penutup hidung dan mulut; pembasmi kuman dan peralatan perubatan yang digunakan untuk mendiagnosis dan merawat pesakit.

Bagi pakaian pelindungan diri dan seumpamanya, perincian import Malaysia pada 2018, yang meliputi penutup hidung dan mulut tekstil (RM190.5 juta); topeng gas (RM40.35 juta); cermin mata pelindungan dan pelindung mata (RM21.85 juta) serta pelindung muka plastik, sarung tangan plastik, dan pakaian perlindungan yang diperbuat daripada plastik (RM58.6 juta), katanya.

Malaysia turut mengimport sarung tangan getah pembedahan (RM75.41 juta); sarung tangan getah lain (RM168.67 juta); sarung tangan dikait (RM57.51 juta); sarung tangan tekstil (RM21.31 juta); pelindung kepala pakai buang (RM71.04 juta); pakaian pelindungan bagi pembedahan/perubatan yang dibuat daripada felt dan bukan tenun (RM28.99 juta) serta pakaian pelindungan lain (RM13.69 juta).

Sementara itu, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) berkata beberapa ahlinya sedang melaksanakan proses pengubahsuaian pengeluaran atau di peringkat perancangan untuk mempelbagaikan operasi mereka bagi pengeluaran bekalan perubatan, termasuk PPE.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata langkah itu merupakan sebahagian usaha pengilang untuk memenuhi penawaran bekalan peralatan perubatan susulan permintaan melonjak berikutan pandemik COVID-19.

“FMM mempunyai 39 syarikat ahli yang menghasilkan PPE dan bahan sanitasi, termasuk penutup hidung dan mulut, sarung tangan getah, pakaian pelindungan, pensanitasi tangan dan bahan penyahjangkit,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun kesemua mereka sedang menghadapi masalah disebabkan bekalan bahan mentah atau komponen yang tidak mencukupi untuk menghasilkan bekalan perubatan ini.

Justeru itu, pengumuman oleh Kementerian Kewangan (MoF) pada 28 Mac bagi pengecualian duti import serta cukai jualan bagi alkohol ternyahasli adalah tepat pada masanya kerana akan membantu pengeluar pensanitasi dan bahan penyahjangkit tempatan meningkatkan kapasiti bagi memenuhi permintaan, katanya.

Beliau berkata pada bulan lepas juga, MoF turut mengumumkan pengecualian duti dan cukai untuk penutup hidup dan mulut.

Bagi memastikan penutup hidung dan mulut tempatan boleh bersaing dengan pengimport, FMM turut menyarankan kerajaan agar mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas semua input bagi penutup hidung dan mulut merangkumi bahan bukan tenun PP untuk penutup hidung dan mulut tiga lapis, kepingan logam penyepit hidung dan tali anjal, katanya.

Beliau berkata bahan mentah ini, yang dikenakan duti import sebanyak 20 peratus dan cukai jualan 10 peratus, diimport terutamanya dari China, India, Ireland serta Emiriah Arab Bersatu disebabkan bekalan tempatan tidak mencukupi.

Soh berkata FMM juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia untuk memudahkan ahlinya mempelbagaikan pengeluaran dan pasaran eksport.

Ini bagi memastikan FMM dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk keperluan ini, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )