‘Mandat rakyat bukan statik, beri peluang PM memimpin’

‘Mandat rakyat bukan statik, beri peluang PM memimpin’

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus terus diberikan peluang memimpin mandat baharu rakyat melalui pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi negara.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata pemimpin Pakatan Harapan (PH) harus sedar bahawa mandat rakyat yang sering mereka laungkan sebelum ini bukannya statik dan mereka harus menerima hakikat perubahan itu.

Malah, katanya beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak 2019 yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada BN membuktikan bahawa mandat rakyat sudah berubah.

“Kerap kedengaran istilah mandat diulang sejak akhir akhir ini. Mereka lupa mandat rakyat bukan statik.

“Rakyat dan anggota PH sendiri menolak pakatan itu. Terimalah hakikat berkenaan dan biar Tan Sri Muhyiddin terus memimpin mandat baru rakyat, demi Malaysia,” katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan melalui ciapan di Twitter, hari ini.

Kenyataan Annuar itu dipercayai merujuk kepada tindakan pemimpin PH yang tidak mengiktiraf kerajaan PN dan mendakwa mandat rakyat dikhianati apabila kerajaan PH tumbang Februari lalu.

Malah, Dewan Rakyat juga menerima usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin untuk dibawa pada Mesyuarat pertama, penggal ketiga Parlimen ke-14 yang akan bersidang pada 18 Mei ini.

Sebelum ini, BN berjaya mempertahankan kemenangan di tiga PRK iaitu Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan Parlimen Kimanis dan merampas dua kerusi milik PH iaitu di DUN Semenyih dan Parlimen Tanjung Piai.

Sementara itu, Annuar berkata, BN melalui Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama PAS akan menyusun cara kempen berbeza bagi penganjuran PRK Chini bersesuaian dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ancaman COVID-19.

“Satu pendekatan baharu akan diperkenalkan oleh Jabatan Urusan Piliharaya (JUARA) di bawah parti, …ia satu lagi cabaran dengan mengambil kira PKPB yang sedang berkuat kuasa serta ancaman COVID-19 masih ada. Insya-Allah, demi rakyat khususnya,” katanya.

PRK akan dilaksanakan di DUN Chini selepas ia kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, Khamis lalu akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

–BH

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )