Malaysia ulangi pendirian sedia tandatangani CATA – Hishammuddin
KUALA LUMPUR,. Malaysia mengulangi pendirian sedia menyertai negara anggota ASEAN lain untuk menandatangani Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif (CATA) ASEAN-Kesatuan Eropah (EU), kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Ketika berucap pada mesyuarat peringkat menteri ASEAN-EU, Hishammuddin bagaimanapun berkata kesediaan Malaysia berasaskan kepada negara peserta dibenar menerima pakai perjanjian itu hanya selepas ia sedia untuk melaksanakan tuntutan CATA.
“Kami menantikan rumusan rundingan ini dengan EU mengenai perjanjian penting pengangkutan udara antara wilayah ini dalam waktu terdekat,” katanya dalam mesyuarat itu pada Selasa.
Mesyuarat diadakan secara maya berikutan pandemik COVID-19, dipengerusikan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, turut disertai Perwakilan Tinggi EU untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Josep Borrell Fontelles.
Semua 10 Menteri Luar ASEAN serta 27 Menteri Luar EU turut menyertai mesyuarat berkenaan.
CATA akan menjadi perjanjian pertama antara dua blok serantau itu bertujuan meningkatkan hubungan udara ASEAN dan EU apabila ia dilaksana kelak.
Mengenai pandemik COVID-19 yang telah menggugat ekonomi global, Hishammuddin berkata ASEAN dan EU juga harus menggandakan usaha dan membuat kemajuan yang stabil serta signifikan dalam membangunkan kerangka Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-EU.
Beliau juga menyeru ASEAN dan EU untuk bekerjasama menangani isu ekstremisme dalam apa jua bentuk dengan mengatasi punca kepada masalah itu, dan mencari penyelesaian mampam serta dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi mengekang pengaruh dan penyebaran ideologi ekstrem.
Katanya, Malaysia bimbang dengan ketidaktentuan politik di peringkat serantau dan antarabangsa serta bercambahnya kebencian dan perpecahan menyebabkan ketidakstabilan dunia.
Tegas beliau ekstremisme dan ucapan berbaur kebencian dalam apa jua bentuk dan manifestasi tidak boleh ditoleransi atau dimaafkan kerana ia menjadi punca perpecahan masyarakat.
“Meskipun usaha tertumpu dan fokus untuk pulih daripada kesan pandemik COVID-19, saya percaya sebahagian besar rakyat dari ASEAN dan EU, tidak boleh lari daripada hakikat utama iaitu dunia yang aman dan damai.
“Kita mesti menjalankan peranan kita untuk mempromosikan kedamaian, kestabilan dan kemakmuran – tidak membiarkan ekstremisme dan ucapan berbaur kebencian berleluasa dan menghancurkan masyarakat kita,” tambahnya.
— BERNAMA