Malaysia sudah jangka kenaikan tarif AS, ambil langkah kedepan tangani isu – Tengku Zafrul

Malaysia sudah jangka kenaikan tarif AS, ambil langkah kedepan tangani isu – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah mengambil langkah kedepan dalam menangani pelaksanaan tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata langkah itu diambil kerana Malaysia sudah menjangkakan potensi kenaikan tarif terbabit.

Beliau berkata, pada tahun lalu negara ini sudah mula mengeksport pelbagai barangan ke negara lain termasuk Kenya, Oman dan Namibia, sekali gus berjaya mencapai rekod baharu.

Selain tiga negara itu, katanya, antara pasaran lain mencatat peningkatan besar ialah Angola dengan lonjakan sebanyak 59.3 peratus diikuti Ethiopia (56.04 peratus), Mesir (53.06 peratus) dan Algeria (27.09 peratus).

“Kerajaan juga giat mengadakan perjanjian perdagangan bebas dengan pelbagai negara dengan awal tahun ini kita sudah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA).

“Selain itu, kita juga sudah mulakan semula rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Korea Selatan pada tahun lalu.

“Satu lagi pasaran eksport yang mempunyai potensi besar ialah ASEAN kerana perdagangan antara negara ASEAN masih rendah di bawah 25 peratus.

“Antara fokus Malaysia sebagai sebagai Pengerusi ASEAN 2025 adalah untuk meningkatkan perdagangan antara negara ASEAN,” katanya dalam Facebook hari ini.

Sebelum ini, Trump mengumumkan tarif universal 10 peratus terhadap semua import negara itu dengan kadar lebih tinggi dikenakan terhadap negara Asia seperti Kemboja 49 peratus, Vietnam (46 peratus), China (34 peratus), masing-masing 24 peratus oleh Jepun dan Malaysia serta Singapura (10 peratus).

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, pelbagai inisiatif lain diambil kerajaan dalam menangani isu berkaitan tarif berkenaan dalam memastikan ekonomi rakyat dapat dilindungi dengan sebaiknya.

“Sumber kekuatan kita sebenarnya ialah ekonomi tempatan, orang Malaysia masih kuat berbelanja, iaitu lebih 60 peratus daripada ekonomi kita dipacu oleh perbelanjaan dalam negara.

“Sebelum ini juga kita turut menubuhkan Pusat Pengurusan Geoekonomi Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merangka strategi komprehensif dalam menangani isu seperti ini.

“Pada masa yang sama kita akan teruskan rundingan dengan kerajaan AS untuk cari jalan penyelesaian menang-menang bagi kedua belah pihak.

“Yakinlah kerajaan akan sentiasa berusaha untuk memastikan kepentingan ekonomi Malaysia dan rakyat dilindungi sebaik mungkin,” katanya.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )